Bersumpah laknat nafi ambil RM600b, Muhyiddin dijangka bakal ulangi sejarah malang dialami Najib

Bersumpah laknat nafi ambil RM600b, Muhyiddin dijangka bakal ulangi sejarah malang dialami Najib

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka bakal mewarisi episod malang dialami Najib Razak selepas tampil melakukan perkara sama PM-6 ketika berdepan pendakwaan SRC sebelum ini.

Muhyiddin dilaporkan telah melakukan sumpah laknat ketika berkempen di ceramah Grand Finale PN sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Padang Serai di Taman Selasih di sini, malam tadi.

“Wallahi, Wabillahi, Watallahi, satu sen pun wang itu saya tak ambil. Itu bukan duit saya, itu duit rakyat jelata”.

Demikian sumpah dilafazkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas mengenai isu wang RM600 bilion yang didakwa dibelanjakan di bawah era pentadbirannya dahulu.

Menurut Muhyiddin, jumlah sebenar yang dibelanjakan bukanlah RM600 bilion sebaliknya RM530 bilion merangkumi lapan pakej rangsangan ekonomi dan sebahagian besarnya berbentuk non-fiskal iaitu tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan.

“Kita belanja untuk bantu rakyat susah dan semuanya mengikut peraturan. Ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk sebelah pembangkang dan beberapa rang undang-undang dibentangkan di Parlimen untuk mendapat kelulusan termasuk rang undang-undang Covid-19 dan tambahan peruntukan.

“Semuanya ‘halalan toyyiban’ dan diluluskan kerajaan. Yang menguruskan hal ini adalah bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz yang kini sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Maka Anwar boleh panggil Tengku Zafrul ke pejabat dan tanya betulkah RM600 bilion ini Muhyiddin ‘tapau’ semua? Kalau ‘tapau’, saya boleh hadap di mahkamah bila-bila masa,” katanya, memetik laporan Utusan Online.

Semalam, Anwar menafikan dakwaan menyatakan beliau mengeluarkan arahan supaya siasatan lanjut dijalankan berhubung perkara berkenaan.

Namun katanya, setakat diketahuinya dan melalui maklumat pegawai, terdapat pelanggaran agak serius kerana ia melibatkan perolehan yang terlalu banyak.

Muhyiddin dalam sidang akhbar selepas itu berkata, Anwar selaku Menteri Kewangan juga boleh memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi mendapatkan taklimat mengenai perkara itu.

“Kena faham betul-betul dan jangan sebab ada satu atau dua orang manusia nak bangkitkan cerita, nak cari jalan menjatuhkan imej dan maruah kita, maka dibuat tuduhan melulu. Siasat betul-betul dan selepas itu barulah boleh keluar kenyataan.

“Beliau kata kemungkinan ada benda-benda itu (kesalahan). Jangan buat macam itu kerana sebagai Perdana Menteri, anda mesti bertanggungjawab atas apa yang diperkatakan kerana ia perlu disandarkan kepada fakta serta bukti dan bukannya khabar angin,” katanya.