Bertanding solo di Melaka, Zahid beri amaran tiada lagi perbincangan dengan parti musuh

Bertanding solo di Melaka, Zahid beri amaran tiada lagi perbincangan dengan parti musuh

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi gambaran kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) berkemungkinan tidak dapat direalisasikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya ia diadakan kelak.

Perkara itu dimaklumkannya dalam sebuah program bual bicara bertajuk ‘Jawab, Saya Tanya’ bertajuk ‘PRU15: Membentuk Atau Membina Arus?’ pada Selasa malam.

“Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan, maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana pilihan raya kecil yang pernah diadakan.

“Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional (BN) secara solo, dan InsyaAllah rakyat memilih parti yang terbaik,” kata Ahmad Zahid.

Tambah Ahmad Zahid, sebagai ahli politik, beliau tidak pernah kecewa meskipun dikhianati.

“Saya tidak pernah kecewa sebagai seorang orang ahli politik tetapi kita harus tahu bahawa bila kita berkongsi, terutamanya berkongsi hidup, kita harus saling percaya mempercayai dan kita jangan khianat mengkhianati.

“Cukuplah kalau pengkhianatan itu dilakukan sekali. Tetapi kalau telah berulang kali, bukan kepada UMNO tetapi kepada pelbagai pihak.

“Saya fikir itu harus dinilai semula,” katanya lagi.

Mengulas lanjut berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jelas Presiden UMNO itu beliau menghormati keputusan dan ketetapan dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

“Ketetapan telah dibuat dan saya sebagai Presiden menghormati bahawa di dalam PRU-15 nanti kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

“Saya fikir itulah kehendak di kalangan ahli-ahli UMNO dan kepimpinan UMNO di seluruh negeri Melaka.

“Saya harap mereka yang mendengar apa yang saya nyatakan ini, adalah ekoran daripada suara hati dan suara hati politik mereka,” katanya lagi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebelum ini dibubarkan kerana Kerajaan Negeri Melaka hilang majoriti dan berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, PRN perlu dilaksanakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran itu.
 
Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sumber – AstroAWANI