Bijak sembunyikan kemewahan antara ramuan kemenangan UMNO, tegas Najib
Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan ahli UMNO supaya tidak boleh menunjuk-nunjuk kemewahan yang dimiliki kerana orang tidak suka kepada pemimpin sedemikian.
“Malah kalau kita menunjuk-nunjuk lebih sangat… orang kata berlagak… itulah punca kekalahan kita… orang tak suka kepada pada pemimpin-pemimpin yang berlagak,” kata menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Cawangan UMNO Pekan hari ini.
Mungkin benar apa yang dikatakan bekas Perdana Menteri itu sebagaimana dilakukannya, apabila menyimpan ‘kemewahan’ dalam beberapa peti besi ketika beliau tinggal di Seri Perdana sebelum ini.
Selain itu, Najib juga tidak menunjuk-nunjuk kemewahannya apabila menyimpan jutaan wang tunai, barang kemas dan beg tangan mewah di sebuah kondominium di ibu negara, yang hanya terbongkar selepas serbuan pihak polis.
Terdahulu, Agenda Daily melaporkan tular gambar beberapa peti besi yang dipindahkan dari kediaman rasmi Perdana Menteri di kompleks Seri Perdana selepas diarahkan Najib. Berita berkaitan
Beberapa keping gambar tular menunjukkan peti besi besar dikeluarkan dari kompleks tersebut yang dipercayai dipindahkan selepas kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Kren juga terpaksa digunakan bagi membawa keluar peti besi tersebut dari Seri Perdana kerana terlalu berat untuk diangkat.
Sebelum itu, Najib mengakui membawa keluar perabot dari kompleks Seri Perdana dan masih disimpan di gudang.
Pada Mei 2018 lalu pula, polis merampas kira-kira RM120 juta wang tunai, barang kemas dan beg tangan berjenama terkenal, seperti Hermes Birkin, dari sebuah kediaman di kondominium mewah di Pavilion Residences, yang dikatakan milik Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan UMNO.
Sebanyak 72 bagasi mengandungi wang tunai, barang kemas dan pelbagai barangan berharga serta 284 kotak berisi beg tangan berjenama ditemui dalam sebuah unit kediaman di Pavilion Residences yang diperiksa polis berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
20 Mei lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Kerajaan Persekutuan untuk melucut hak wang RM114 juta dipercayai milik 1MDB, yang disita di kondominium berkenaan.
Sumber – Agenda Daily