Bimbang tak dapat sokongan, Kenny Chua lompat masuk STAR

Bimbang tak dapat sokongan, Kenny Chua lompat masuk STAR

Parti Solidariti Tanah Airku (Star) menerima calon bebas bagi kerusi Dun Inanam, Kenny Chua untuk menyertai parti itu.

Langkah itu dibuat meskipun Star dan Parti Bersatu Sabah (PBS), yang turut bertanding di kerusi Inanam, telah mencapai persefahamanbagi empat kerusi petang tadi.

Langkah menerima penyertaan Chua akan menyaksikan Star bertembung dengan PBS di Inanam.

Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini kesuntukan masa untuk menyelesaikan pertembungan di 15 kerusi lain, termasuk lima lagi kerusi yang menyaksikan pertembungan antara PBS dan Star.

Berdasarkan persetujuan yang dicapai hari ini, PBS berjanji menamatkan kempennya di Bingkor dan Tambunan serta memberi laluan kepada calon Star yang bertanding di kerusi yang sama, manakala Star setuju menyokong calon PBS di Api-Api dan Bengkoka.

Presiden Star, Jeffrey Kitingan juga mengatakan bahawa pihaknya tidak lagi menyokong calon-calon bebas ini, termasuk Kenny Chua.

Malay Mail melaporkan ketua penerangan Star Jeffrey Kumin menghadiri majlis yang menyaksikan Chua menyertai Star hari ini.

Chua dipetik sebagai berkata bahawa kerusi Inanam akan menjadi milik Star jika dia menang dalam pilihan raya negeri.

“Sekiranya saya memenangi kerusi ini sebagai bebas, kerusi ini adalah milik STAR,” katanya di Dewan Masyarakat Menggatal petang ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, setiausaha agung PBS Jahid Jahim berkata dia menyerahkan kepada Star untuk menyelesaikan perkara itu.

“Saya rasa kepimpinan Star tahu apa yang perlu dilakukan dan apa yang terbaik untuk Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kiriman pesanan teks.

“Saya akan menyerahkannya kepada kebijaksanaan kepimpinan Star kerana dari hari pertama, calon PN untuk kerusi Inanam adalah wakil dari PBS.

“Saya mendoakan yang terbaik untuk dia (Chua),” katanya.

Sumber : Malaysiakini