Bincang majlis kahwin dalam bilik hotel, pasangan kekasih dicekup berkhalwat

Bincang majlis kahwin dalam bilik hotel, pasangan kekasih dicekup berkhalwat

 

Sepasang kekasih di Bandar Melaka dicekup pihak berkuasa kerana berada di dalam keadaan meragukan di dalam bilik hotel baru-baru ini.

Hanya berdua-duaan ketika ditangkap, pasangan kekasih itu mengaku sedang berbincang tentang majlis perkahwinan yang bakal dilangsungkan di hotel berkenaan.

Namun begitu, wanita yang merupakan seorang janda berusia 44 tahun itu menempah bilik tersebut bersama pasangannya selama dua hari.

Hasil siasatan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mendapati kediaman dua individu terbabit terletak kurang daripada 10 kilometer daripada hotel.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, mereka dicekup dalam Op Medsos yang dijalankan bermula pukul 10 malam hingga 4 pagi.

Lima pasangan lain juga berjaya dicekup dalam pemeriksaan yang dijalankan di 12 premis hotel terkenal di bandar Melaka itu.

“Wanita tersebut merupakan seorang janda yang kematian suaminya, manakala kekasihnya merupakan lelaki bujang.

“Pasangan itu mengakui menempah bilik hotel bagi dua malam dengan alasan untuk berbincang mengenai majlis perkahwinan mereka,” katanya.

Mendakwa bakal melangsungkan majlis berkenaan pada Mei depan, pasangan tersebut merupakan penduduk tempatan.

Gagal mengemukakan dokumen perkahwinan, kesemua pasangan yang dicekup dalam operasi itu dibawa ke pejabat JAIM.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Kalau dah suka, bawalah jumpa ibu bapa, kenali satu sama lain dengan mesra, masuk meminang dengan segera.