Biskut kita selamat dimakan – KP KKM

Biskut kita selamat dimakan – KP KKM

Kementerian Kesihatan telah menjalankan penilaian ke atas bahan yang terkandung dalam biskut keluaran tempatan dan mendapati risiko kesihatan daripada pengambilannya adalah rendah, lapor portal akhbar dalam talian Malaysiakini.

Ketua Pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengulas laporan Majlis Pengguna Hong Kong (HKCC) pada 18 Okt lalu yang mendapati 60 jenama biskut yang dijual di Hong Kong mengandungi dua bahan tercemar penyebab kanser.

Antara jenama yang disenaraikan termasuk jenama biskut Hup Seng, Jacobs dan Julie’s yang dikilangkan di Malaysia.

Noor Hisham berkata, berdasarkan pemantauan yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sejak 2015 bagi biskut keluaran tempatan mendapati tahap purata acrylamide adalah 246 µg/kg (mikrogram per kilogram).

Katanya kadar itu di bawah paras (benchmark level) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU) iaitu 350 µg/kg.

“BKKM turut menjalankan penilaian risiko ke atas acrylamide dan glycidol dalam makanan dan ia menunjukkan risiko kesihatan terhadap acrylamide dan glycidol melalui pengambilan biskut adalah rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, laporan HCCC antara lain mendakwa biskut cream cracker Hup Seng mengandungi 500μg/kg akrilamida dan 2,100μg/kg glycidol.

Kedua-dua bahan itu boleh terhasil semasa proses memasak pada suhu tertentu seperti menggoreng, membakar dan memanggang.

Bagaimanapun, Noor Hisham berkata bahan pencemaran itu boleh dikawal melalui pemilihan bahan mentah dan proses yang bersesuaian.

Sebagai respons kepada pendedahan HKCC, pengeluar biskut tempatan Hup Seng Perusahaan Makanan Sdn Bhd berkata produknya selamat untuk dimakan dan mematuhi piawaian kualiti dan keselamatan.

Manakala Julies Manufacturing Sdn Bhd berkata syarikat itu mengekalkan standard keselamatan makanan pada tahap yang tinggi.