Bob Lokman kongsi keadaan kesihatan terkininya, jantung hanya berfungsi 10%

Bob Lokman kongsi keadaan kesihatan terkininya, jantung hanya berfungsi 10%

Umum mengetahui, pelakon dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman menghidap beberapa penyakit iaitu jantung, masalah paru-paru dan buah pinggang.

Malah, pelakon itu terpaksa dikejarkan sekali lagi ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada awal April lalu ekoran kesihatannya kembali menyusut akibat masalah buah pinggang.

Terbaru, Bob atau nama sebenarnya Mohd. Hakim Lokman memaklumkan tahap penggunaan jantungnya kini hanya tinggal 10 peratus.

Memetik Utusan Online, Bob berkata dia kini hanya bergantung nyawa pada jantung kombinasi bateri iaitu alat bantuan jantung, Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC).

“Saya kini berada di rumah dan tidak berapa sihat. Keadaan jantung saya juga kini tinggal 10 peratus sahaja lagi.

“Selagi bateri ini tidak mati, selagi itu saya bernafas. Apabila sudah sampai ajal, habislah. Tunggu waktu sampai sahajalah.

“Selagi sempat, selagi itulah kita mencari kesempatan untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Bob berkata selain bergantung kepada ubat-ubatan dia perlu menjalani rawatan susulan setiap tiga bulan sekali bagi memantau tahap kesihatannya.

“Rawatan susulan di hospital untuk berjumpa doktor memang ada iaitu tiga bulan sekali. Jantung ini seperti bateri, walau setiap hari cas pun, makin lama makin kurang juga.

“Itulah, kita boleh jangka apa, ia sentiasa berjalan dan bergerak. Badan pula gemuk, banyak yang tidak sihat. Jantung tidak kuat, namun perlu banyak juga menggunakan jantung.

“Tidur pakai jantung, makan dan buang air pun pakai jantung. Jadi, semakin teruk jantung itu. Tidak boleh nak jangka apa, cuma bersyukur sahaja. Selagi ada umur, saya bersyukur sahaja,” katanya.

Sumber – RotiKaya