Bon Odori : Menteri Agama nasihat umat Islam jangan sertai

Bon Odori : Menteri Agama nasihat umat Islam jangan sertai

Umat Islam dinasihatkan supaya tidak menyertai Festival Bon Odori yang akan berlangsung pada 16 Julai ini kerana didapati mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

Memetik laporan Malaysiakini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata kajian yang dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati festival itu memang ada unsur-unsur keagamaan.

“Jadi kami nasihatkan orang Islam tidak menyertainya atau apa-apa juga program yang membabitkan soal agama serta akidah,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Kompleks Pendidikan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (Yapis) di Sungai Besar, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai penganjuran festival tahunan Bon Odori iaitu perayaan Buddha Jepun bagi menghormati semangat nenek moyang mereka yang dijangka diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).

Gambar fail, Festival Bon Odori.

Poster promosi penganjuran festival itu juga memaparkan imej anime wanita berhijab yang memakai kimono dan ia mendapat reaksi negatif di media sosial terutamanya dalam kalangan umat Islam di negara ini.