Bongkar!!! Musa Hasan dakwa IGP perlu jadi ‘yes man’ jika tak mahu hidup susah
Seorang ketua polis negara (IGP) boleh mengambil pendirian yang tidak popular dengan perdana menteri atau menteri dalam negeri yang bertanggungjawab terhadap Polis Diraja Malaysia.
Namun, tindakan berkenaan, kata Musa Hassan, mungkin menyebabkan IGP terbabit perlu berdepan dengan risiko menghadapi tohmahan ke atasnya.
Dalam wawancara di Garasi TV semalam, Musa mengakui cadangan moderator Zainal Rashid Ahmad bahawa tohmahan yang dimaksudkan turut melibatkan pembunuhan karakter seperti yang pernah Musa hadapi suatu masa dahulu.
“Risikonya, banyak tohmahanlah. Akan dibuat tohmahan bermacam-macam,” akuinya apabila moderator membangkitkan isu Musa didakwa menerima habuan semasa menjadi IGP dulu.
“(Pembunuhan karakter) Akan dibuat. Tetapi kita tak perlu takutlah, kerana kita tak ambil (habuan yang didakwa).
“Apa kita takut, kan? Kalau kita ambil, (barulah) perlu kita takut, ada bukti. Ini tak ada bukti… orang cakap saja.
“Saya sendiri pun apabila dibuat banyak tohmahan terhadap saya,” katanya.
Wawancara itu antara lain membincangkan mengenai tanggapan bahawa polis dikuasai oleh orang politik, hubungan ahli politik dengan pasaran gelap, korupsi dalam pasukan polis dan sebagainya.
Masih ada kontrak
Untuk rekod Musa menjadi IGP antara Nov 2006 hingga Sept 2010. Selepas bersara Musa juga dilihat selalu memberikan ulasan berhubung perkembangan semasa tanah air.
Kata Musa, meskipun IGP bertanggungjawab kepada menteri KDN, tetapi ia tidak terikat untuk mengikut arahan daripada menteri berkenaan, lebih-lebih lagi dalam hal-hal yang menyalahi undang-undang.
Seorang IGP juga, kata Musa, boleh menolak atau mengabaikan sahaja sekiranya menteri mahu mengambil peluang mempergunakan polis demi kepentingan yang salah, dan dalam hal itu, IGP itu tidak dikira melakukan kesalahan.
Katanya, berdasarkan Akta Polis 1967, arahan dan kawalan pasukan polis adalah merupakan tugas IGP, dan pejawatnya bertanggungjawab memaklumkan tindakan mereka kepada menteri dalam negeri, bukannya untuk menunggu arahan “ya atau tidak” daripada menteri berkenaan.
Soal menteri bersetuju atau tidak dengan tindakan yang diambil, kata Musa, bukanlah hal berbangkit buat IGP.
Malah, tanpa menamakan sesiapan, Musa mendakwa semasa berkhidmat dalam PDRM dia sendiri pernah menerima “arahan” melakukan sesuatu yang dirasakan tidak betul, namun dia tidak menurutinya.
Berkaitan hal itu, Zainal turut membangkitkan bagaimana Musa meninggalkan PDRM pada 2010 kerana dia bukanlah seorang “yes man”.
Kata Zainal, memandangkan ahli politik dalam kerajaan mempunyai kuasa melantik seorang IGP, maka apabila IGP enggan akur kepada arahan ahli politik, mereka juga boleh menggunakan bidang kuasa mereka untuk menyingkirkan IGP yang enggan menjadi “lembu tambatan” mereka.
“Betul,” jawab Musa ringkas.
Kata Musa, pada masa itu, dia ditawarkan menjadi duta, tetapi dia tidak mahu.
“Masa saya diberhentikan dahulu, saya masih ada kontrak. Tetapi hendak dilantik saya sebagai duta. Jadi saya menolaklah… saya tak mahu jadi duta.
“Pencenlah,” katanya sambil ketawa. – MK