Bosan diasak soalan gaya politik ekstrem Pas, ini luahan yang dipendam Saifuddin Abdullah selama ini

Bosan diasak soalan gaya politik ekstrem Pas, ini luahan yang dipendam Saifuddin Abdullah selama ini

Seorang pemimpin Bersatu yakin saranannya agar PN mengambil pendekatan sederhana bagi mewujudkan suasana demokrasi matang boleh dicapai walaupun salah satu parti komponennya, PAS, dilabel ekstrem oleh sesetengah pihak.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Saifuddin Abdullah berkata ada beberapa indikator yang menunjukkan PAS bukanlah ekstrem seperti mana tanggapan pengkritik mereka.

“Saya kira perkara itu (pendekatan sederhana) boleh dilaksanakan.

“Kita harus ingat bahawa PAS sudah pun meletakkan calon bukan Melayu dan bukan Islam pada PRU ke-15 lalu.

“PAS juga mempunyai seorang senator berbangsa India dan PAS bukanlah dikatakan sebagai ekstrem itu,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini.

Ahli parlimen Indera Mahkota itu juga berhujah pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah juga boleh menjadi bukti bahawa parti terbabit tidak bersifat ekstrem.

Di Kelantan misalnya, kata Saifuddin, ada patung Buddha terbesar di Asia Tenggara, manakakala Kedah mencatat jumlah pelaburan asing tertinggi pada 2021.

“Itu semua indikator penting yang meunjukkan PAS bukan sebuah parti yang ekstrem seperti anggapan oleh sesetangah pihak,” katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada media selepas program ceramah di Taman Mahsuri, Padang Serai, malam tadi.

Melayu sokong PAS, PN

Terdahulu dia yang pernah dilantik menjadi menteri luar dalam dua kerajaan berbeza ditanya berhubung hasratnya untuk mengolah semula idealisme perjuangan PN untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang lebih konstruktif.

Terdahulu Saifuddin berkata perubahan idealisme itu perlu dilaksanakan bagi mewujudkan suasana demokrasi Malaysia lebih matang, sederhana dan segar.

“Kini masa untuk PN melakukan dua perkara pokok iaitu menjadi pembangkang yang konstruktif, profesional dan progresif di peringkat parlimen dan dewan undangan negeri (DUN).

“Selain itu, perkara kedua pula adalah memperbaiki parti gabungan dan ini penting untuk demokrasi di Malaysia yang memiliki pelbagai kaum,” katanya.

Pada masa sama PAS dianggap terus melakukan serangan agresif kepada kerajaan, termasuk dalam kalangan pemimpinnya yang memainkan sentimen agama dan kaum.

Terdahulu Majlis Raja-Raja sudah mengeluarkan kenyataan menitahkan agar semua pihak menjauhi amalan membangkitkan isu perkauman atau agama untuk menghasut masyarakat.

Menafikan tanggapan terhadap PAS itu, Saifuddin menegaskan, sokongan yang ditunjukkan oleh pengundi kepada PAS dan PN pada PRU lalu juga membuktikan mereka berjaya menguasai kerusi-kerusi majoriti Melayu.

“Bagi orang Melayu sebenarnya kalau kita ambil analisis awal sokongan orang Melayu di semenanjung, jumlah kerusi yang dianggap kerusi maoriti pengundi Melayu, BN cuma menang 21 kerusi dan PH hanya 20 kerusi, sebaliknya PN menguasai 70 kerusi.

“Jadi orang Melayu ada pelbagai peringkat, kelas menengah, tahap pendidikan, ada di kampung dan ada di bandar.

“Kalau PAS itu ekstrem, PAS takkan memenangi kerusi sebanyak itu dan Bersatu juga takkan menang sebanyak yang kami menang,” katanya.

Tambah Saifuddin, ekstrem itu hanya dikatakan orang yang memberi kritikan, tetapi pengundi memberi undian kepada PAS dan Bersatu.

“Jadi yang mana satu kita nak pakai? Analisis atau pengkritik, ataupun pengundi yang telah menyatakan sokongan yang cukup besar kepada PAS?” ujarnya.