Buat hal, lelaki ini sanggup cari ‘roadblock’ sebab nak cuba MyJPJ

Buat hal, lelaki ini sanggup cari ‘roadblock’ sebab nak cuba MyJPJ

 

Pelaksanaan sistem salinan lesen memandu dan cukai jalan secara digital menerusi aplikasi Jabatan Pengangkutan Jalan atau MyJPJ yang baru diperkenalkan oleh kerajaan mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat.

Terbaru, seorang lelaki membuat keputusan untuk meronda di beberapa kawasan untuk mencari sekatan jalan raya atau ‘roadblock‘ bagi mencuba keberkesanan aplikasi tersebut.

Menerusi aplikasi TikTok, lelaki berkenaan Ajiq Caster memuat naik satu video memaparkan tindakannya memandu sambil melalui sekatan jalan raya sebelum ditegur oleh penguat kuasa JPJ yang bertugas.

@namasayahaziq_

lepas buang roadtax di cermin,kita ronda cari roadblock..nak jadi cerita,jumpa roadblock JPJ..bukan selalu JPJ nk puji nih..🤣🤣🤣#jpjmalaysia #roadtaxmati #fypシ #kembanghidung

♬ original sound – Ajiq Caster – Ajiq Caster

“Lepas buang roadtax (cukai jalan) di cermin, kita ronda cari roadblock. Nak jadi cerita, jumpa roadblock JPJ. Bukan selalu JPJ nak puji nih,” tulisnya baru-baru ini.

Difahamkan, Ajiq yang telah menanggalkan pelekat cukai jalan kemudian segera memaklumkan penguat kuasa bahawa dia mempunyai aplikasi berkenaan sambil menunjukkan mod paparan digital dalam telefon bimbitnya.

Rakaman berdurasi 35 saat itu kemudian kedengaran suara penguat kuasa memuji usahanya yang menyahut inisiatif Kementerian Pengangkutan tanpa perlu memeriksa cermin kenderaan pada bahagian hadapan.

“Waa bagus, ni orang pertama dalam Perlis (pengguna MyJPJ). Tunjuk.. tengok.. oh 26 Oktober 2023 (tarikh tamat cukai jalan). Terima kasih (sebab guna),” kata penguat kuasa tersebut.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan pengguna jalan raya tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan sebagai langkah untuk memudahkan rakyat selepas segelintir mereka mendakwa pelekatnya tidak berkualiti.