Budak 8 tahun bercinta dapat hadiah rantai bernilai RM12 ribu, ibu pulangkan balik

Budak 8 tahun bercinta dapat hadiah rantai bernilai RM12 ribu, ibu pulangkan balik

 

Seorang ibu di Yiyang, Hunan, China terkejut apabila anak gadisnya pulang dari sekolah dengan kalungan rantai berlian di lehernya.

Wanita yang dikenali sebagai Miss Tang mula menyoal anaknya tentang kalung itu kerana dia pasti ianya tulen dan bernilai ribuan ringgit.

Rupa-rupanya rakan sekelas anaknya yang berumur lapan tahun menghadiahkan rantai itu sebagai tanda cinta kepada anak gadisnya.

Anak perempuan Miss Tang telah menolak pengakuan cinta kanak-kanak lelaki itu sejurus selepas dia meluahkan perasaannya di Hari Valentine.

Namun begitu, kanak-kanak lelaki itu tidak mahu mengambil semula kalung itu dan mahu dia memilikinya walaupun cintanya bertepuk sebelah tangan.

Inginkan kepastian, Miss Tang membuat keputusan untuk segera menghubungi ibu kepada kanak-kanak lelaki itu.

Ternyata, budak lelaki itu telah ‘mengambil’ rantai berlian dan platinum bernilai 20,000 yuan (RM12,878) milik ibunya tanpa meminta izin.

Pada mulanya, pemilik rantai itu meminta Miss Tang untuk menyimpan sahaja berikutan puteranya telah menghadiahkannya kepada anak gadis itu.

Namun, memikirkan harga rantai berlian yang mencecah ribuan ringgit itu membuatkan Miss Tang tetap memulangkannya pada esok hari.

Diharapkan kanak-kanak lelaki itu mendapat pengajaran agar tidak lagi mencuri dan berlaku jujur sekiranya ingin cintanya berbalas.