Budak umur 6 tahun tunjuk aksi masak kuetiau, netizen rasa tercabar

Budak umur 6 tahun tunjuk aksi masak kuetiau, netizen rasa tercabar

 

Seorang kanak-kanak berusia enam tahun berjaya menarik perhatian orang ramai dengan kemahiran memasak di usia yang muda.

Siapa sangka, kanak-kanak lelaki yang masih kecil itu sangat cekap memasak Kuetiau pesanan ibu bapanya tanpa bantuan orang dewasa.

Menerusi video yang tular di aplikasi sosial media tersebut, dapat dilihat kanak-kanak itu tidak kekok menggunakan pisau untuk memotong bahan-bahan masakan.

Mungkin di bawah pemerhatian ibu bapanya, kanak-kanak itu dengan berhati-hati memotong daun bawang dan tauhu.

Kemudian, dengan tangkas dia mula memasukkan bahan-bahan seperti cili boh, kicap, dan telur di dalam kuali sebelum menambahkan kuetiau.

Video yang berkapsyen ‘serious lah umur 6 tahun dah masak Kuey Tiaw Goreng. Impress gila. Korang umur 6 tahun reti masak apa?’ itu telah mendapat 633 ribu tontonan.

Rata-rata pengguna media sosial media sangat kagum dengan pengendalian perkakasan dapur oleh kanak-kanak tersebut.

Kemahiran kanak-kanak tersebut turut membuat sesetengah warganet merasa tercabar dan berkongsi hasil masakan mereka yang tidak ‘menjadi’.

Seorang pengguna bernama Azreen memuat turun gambar kuetiau masakannya yang terlihat pucat dan tidak menyelerakan.

“Tercalar imej akak dik sebab baru je harini masak kuey teow goreng tapi adik punya nampak lagi menyelerakan,” katanya.

“30 dan saya masih tidak mahir memasak satu pun jenis lauk. Nasi goreng pun macam sedih tengok. Siang ikan rasa macam dah boleh jadi keropok. Entahlah, redha sajalah nanti belajar la masak dgn husband,” kongsi pengguna lain.

Seorang pengguna bernama Darvina turut memuji keputusan penjaga kanak-kanak itu yang tidak membezakan tanggungjawab gender dalam mendidik anak.