Bukan dipecat sebab MN atau PN, Takiri dipecat sebab audio jatuhkan presiden

Bukan dipecat sebab MN atau PN, Takiri dipecat sebab audio jatuhkan presiden

Pemerhati politik menganggap pemecatan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali yang dipecat daripada jawatannya sebagai anggota Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat lebih kepada tertularnya audio gerakan jatuhkan Hadi Awang sebagai presiden parti, bukannya atas sebab pendiriannya terhadap Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ini dipercayai selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam jawapannya kepada wartawan selepas diasak dengan soalan pemecatan Khairuddin hari ini mencabarnya – atau mana-mana pemimpin – untuk menyatakan bahawa isu MN dan PN – adalah punca pemecatan tersebut.

“Adakah dia (Khairuddin) berani mengatakan bahawa soal ini (pendirian MN dan PN)?

“Kalau dia berani, dia buat kenyataanlah: ‘Saya dipecat kerana ini (MN dan PN). Kalau berani, silakan,” katanya kepada media di Kota Bharu hari ini, seperti dilaporkan portal akhbar Malaysiakini.

Menurut Takiyuddin dia tahu benar apa yang berlaku dalam mesyuarat yang memutuskan pemecatan tersebut kerana menjadi sebahagian daripada anggota pertemuan berkenaan.

Sebelum itu Ahli Parlimen Kota Bharu itu ditanya mengenai punca pengguguran Khairuddin daripada badan atasan PAS itu digambarkan kerana pendiriannya terhadap MN – yang dimeterai bersama Umno.

Kerana masalah pentadbiran

Takiyuddin malah berkali-kali menegaskan bahawa keputusan tersebut tidak ada kena-mengena langsung dengan isu MN dan PN.

“Not at all (tidak sama sekali), walaupun saya tak nak menghuraikan puncanya, tapi sama sekali tak ada kaitan dengan MN atau PN,” katanya.

Keputusan PAS mengetepikan Khairuddin – yang merupakan salah seorang pemuka utama PAS sebelum ini – daripada jawatankuasa pusat PAS mengejutkan ramai orang.

Ia berlaku tidak lama selepas dia menganggotai badan berkenaan secara lantikan ekoran kalah dalam pemilihan PAS baru-baru ini.

Perkembangan itu menyusul selepas dia digugurkan daripada jawatan menteri apabila Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Kelmarin Khairuddin membuat kenyataan pertama selepas pemecatannya dengan menegaskan bahawa “wajib” untuk mengusahakan perpaduan antara PAS dan Umno.

Takiyuddin berkata tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas mana-mana pihak yang membuat kenyataan bahawa pemecatan Khairuddin berpunca daripada isu MN dan PN.

Katanya PAS serius dengan pendirian tersebut.

Kata Takiyuddin isu perbezaan pandangan dalam PAS adalah perkara biasa termasuk mengenai sikap parti terhadap MN dan PN.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu menambah, perbezaan berkenaan sentiasa diraikan dalam PAS, justeru tidak menjadi sebab untuk parti mengetepikan Khairuddin.

Takiyuddin berkata, Khairuddin dipecat atas sebab yang dinyatakan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

“Ini purely (kerana) masalah pentadbiran dan pengurusan parti,” katanya.