Bukan kerana rakyat, Baddrol Bakhtiar jadi calon hanya sekadar pertahankan Sanusi
Bekas kapten skuad Kedah dan Sabah, Baddrol Bakhtiar menyertai politik demi mempertahankan Menteri Besar, Sanusi Nor serta memperjuangkan agama dan bangsa.
Memetik portal FMT, Baddrol, 35, yang juga bekas pemain Harimau Malaya berkata, penghijrahannya daripada arena sukan ke dunia politik sempena Maal Hijrah tahun ini.
“Pertamanya, saya ingin perjuangkan agama serta bangsa. Saya juga ingin pertahankan individu yang orang duk serang sekarang ini dan beliau juga tenang bertahan, iaitu Sanusi.
“Itu sebab saya terhutang hati untuk perjuangkan Sanusi dan pertahankan Kedah bawah beliau,” katanya menurut Utusan Malaysia dalam program sembang santai geng muda di Kampung Lubuk Perong, Padang Terap, malam tadi.
Program itu turut disertai Adun Pedu, Radzi Amin serta legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din yang pernah bertanding mewakili PAS di Parlimen Pokok Sena pada PRU14.
Nama dua bekas pemain bola sepak itu hangat diperkatakan akan mewakili PAS dalam PRN bulan depan.
Ditanya sama ada beliau akan dicalonkan dalam PRN, Baddrol berkata, beliau percaya kepada takdir.
“Kalau kita ikhlas, jujur dalam perjuangan atau bidang diceburi, insya-Allah tuhan bantu. Malam ini saya terharu dengan anak muda yang hadir dan rasa teruja serta lebih bersemangat perjuangkan apa yang saya impikan selama ini.
“Saya juga menyeru penduduk kampung di sini memilih pemimpin yang ada sifat kepimpinan dan mendengar keluhan rakyat selama ini.”