Bukan ketumbuhan, Neelofa enggan lagi sembunyikan punca perutnya dilihat pelik
“Ya, half way to go (pertengahan jalan),” demikian kenyataan selebriti popular, Neelofa, 34, berhubung spekulasi sedang hamil anak kedua seperti dakwaan netizen.
Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor mengiyakan pertanyaan kini sedang berbadan dua selepas berkongsi cabaran menunaikan umrah, baru-baru ini.
“Faham-fahamlah. Orang pun sudah nampak kan? Ramai yang mendoakan saya sihat dan selamat.
“Banyak orang mendoakan saya yang baik-baik. Banyak juga yang menghantar mesej langsung (DM), ucap yang baik-baik, jadi syukur Alhamdulillah.
“Iyalah, saya pun aktif pergi sana-sini, dengan anak kecil lagi. Ia bukan mudah, tetapi urusan saya dipermudahkan,” katanya kepada BH Online.
Neelofa ditemui ketika majlis pelancaran koleksi Warisan di Butik Naelofar di KL East Mall, di sini, pagi ini.
Mengulas mengenai jantina anak keduanya itu, Neelofa berkata, dia tidak kisah asalkan anaknya sihat, malah turut berkongsi kehamilan kali ini juga mudah seperti ketika mengandungkan anak pertama, Muhammad Bilal.
“Dari kehamilan anak pertama, saya tidak memilih, okay sahaja.
“Alhamdulillah, saya tak alami alahan teruk sejak anak pertama. Jika dibandingkan dengan kenalan saya, ada yang tidak boleh bangun daripada katil. Saya sangat bersyukur.
“Ada juga sedikit perubahan yang saya perlu buat, tetapi semua baik-baik sahaja. Dari segi perubahan bentuk badan, perasaan, hormon dan banyak lagi.
“Tetapi, saya seperti wanita yang banyak kali hamil, sudah biasa dengan semua ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas kelakuan Bilal yang bakal menerima adik, Neelofa bersyukur anaknya tidak banyak meragam.
“Bilal okay sahaja sebab dia sudah besar dan makin kenal orang. Saya rasa ia hanya mitos bila orang kata anak pertama akan meragam bila nak dapat adik,” katanya.
Video itu merakamkan Neelofa memegang perut yang semakin membesar ketika memberi ucapan sempena ulang tahun pertama kelahiran Bilal.
Terdahulu, Neelofa mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Haris Ismail pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan anak sulung pada 29 Januari tahun lalu.