Bukannya sumbang idea, tetapi tugas utama Danesh Raj sebagai LPU UM ialah sumbang dana
Bagi aku, tugas hakiki ahli Lembaga Pengarah Universiti awam (LPU) terutama 20 tahun terakhir ini cuma satu – mencari dana untuk universiti. Kalau selain daripada itu aku fikir tak payahlah buang masa.
Biasa dalam perbualan aku dengan beberapa tokoh korporat yang menjadi Pengerusi atau ahli LPU, mereka mengatakan tugas sebagai ahli LPU ini hanyalah khidmat untuk negara (national service) semata-mata. Tidak berbaloi dengan elaun yang diterima, tidak setimpal dengan masa yang dihabiskan. Malah seorang ahli LPU yang juga merupakan seorang tokoh korporat memberitahu aku sepanjang menjadi ahli LPU hanya duit dia sahaja yang habis untuk diberikan sebagai zakat untuk para mahasiswa, sedangkan imbalan yang universiti berikan kepadanya langsung tidak sepadan.
MALANGNYA, jawatan LPU telah dijadikan lembu susu untuk diperah kantungnya walaupun pada hakikatnya universiti itu tidak ada apa-apa sangat pun untuk diperah. Ada ahli LPU menuntut jawatan Profesor diberikan kepadanya. Ahli LPU di kalangan politikus pula akan menghidu kontrak-kontrak yang akan ditawarkan terutamanya melibatkan pembangunan universiti. Ada ahli LPU yang jadi broker dan menyuruh universiti melabur entah di mana-mana kemudian duit pun lesap. Ada ahli LPU yang sampai ke sudah kita pun tak faham kenapa dia duduk di situ.
Betul, LPU memerlukan komposisi yang seimbang. Ada hartawan, ada aristokrat, ada bekas KSN atau KSU, ada tokoh korporat, ada cendekiawan, ada aktivis masharakat, ada alumni, ada pakar profesional seperti akauntan, peguam dan penasihat kewangan contohnya, tapi aku tekankan sekali lagi fokus LPU di zaman edan ini ialah DUIT.
Ada pengerusi LPU yang aku kenali, semua jemputan sharahan dan konsultansi berbayar yang dia terima di luar universiti (dia menerima imbuhan), semuanya dimasukkan ke dalam tabung universiti. Satu sen pun dia tak ambil. Walaupun dia bukanlah jutawan yang kaya-raya, tapi dia pun tahu tanggungjawab dia sebagai LPU.
Kalau tokoh politik menjadi LPU pun, pada akhirnya dia perlu menggunakan pengaruhnya untuk mencari dana kepada universiti, bukannya untuk ‘mengerjakan’ universiti.
Mahasiswa tak perlukan LPU yang cakna mengenai urusan kebajikan mereka sebab itu urusan pentadbir universiti. Makan cukup atau tak cukup, hostel cukup atau tak cukup, operasi seharian sebegini bukanlah urusan hakiki LPU. Tapi soal pembangunan universiti, kantung universiti, itu lebih utama. Begitu juga universiti tak perlukan LPU yang kerjanya bersharah berjela-jela mengalahkan profesor, sekali-sekala bolehlah. Ini kalau dia sendiri bersharah mengalahkan pensharah universiti, buang masa saja.
Kalau jadi LPU tapi tak bawak masuk duit untuk universiti, aku rasa baik pergi melingkuplah.
Pernah aku bangkitkan esyu satu universiti awam yang menggantikan pengerusi LPUnya (menterilah yang tukar ni) dari seorang tokoh korporat yang kaya diganti dengan seorang individu yang kita pun tak tahu dia ni apa. Nak kata usahawan pun bukan berjaya sangat, nak kata ahli akademik bukan, tokoh korporat pun bukan. Aku pertikaikan perkara ini kepada seorang bekas ahli LPU universiti tersebut. Bekas ahli LPU itu terdiam tapi dia cuba back up pengerusi LPU yang baharu itu. Dia mengatakan kepada aku “Tapi dia (pengerusi LPU baharu) tak ambil satu sen pun elaun LPU”. Aku jawab kalau dia tak ambil elaun LPU tu universiti tu boleh berubah jadi kaya-rayakah? Itu bukan alasan untuk melantik entah siapa-siapa sebagai LPU hanya sekadar membalas jasa politik atau kerana dia baik dengan menteri.
Kerana ada watak-watak LPU badut sebeginilah, universiti awam tidak boleh pergi jauh. Duit sudahlah tiada, dapat LPU pula jenis penglipurlara.
Soalan mudah kepada siapa-siapa yang menjadi ahli LPU sekarang mudah sahaja – BERAPA JUTA DUIT KAU DAH BAWAK MASUK UNTUK UNIVERSITI?
KPI selain daripada itu hanyalah SAMPAH.
Sumber – FB