Bukit Aman beri amaran jangan semarakkan pertelingkahan Ebit-Caprice

Bukit Aman beri amaran jangan semarakkan pertelingkahan Ebit-Caprice

Polis mengingatkan orang ramai tidak mensensasikan isu kontroversi membabitkan pendakwah bebas Ebit Lew dan penyanyi rap Caprice.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan, berkata tindakan tegas akan diambil jika ada yang didapati melanggar undang-undang termasuk menyebarkan fitnah.

“Beberapa hari ini media sosial hangat memperkatakan mengenai tindakan seorang penyanyi rap, Caprice atau nama sebenar Ariz Ramli yang mempersoalkan tindakan Ebit Lew ketika misi kemanusiaan di Gaza, Palestin.

“Polis ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mensensasikan isu kontroversi ini.

“Setakat ini tiada laporan polis diterima dan tiada kertas siasatan dibuka mengenai perkara ini. Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan atau membuat kenyataan berbaur fitnah atau mengaibkan seseorang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tindakan menyebarkan fitnah ke atas individu lain adalah satu kesalahan yang boleh disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Siasatan juga boleh dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan perpecahan keamanan.

“Orang ramai juga boleh disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Caprice mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan tegurannya kepada Ebit kerana mendakwa menerima rungutan daripada penduduk Gaza berhubung cara pendakwah itu menghulurkan bantuan baru-baru ini.

Dia juga mendakwa Ebit hanya menggunakan gambar kanak-kanak di Gaza demi tarikan bahan kandungan di media sosial.

Pendedahan Caprice itu dilihat menimbulkan rasa kurang senang warganet terutama dalam kalangan penyokong Ebit yang memberikan pelbagai reaksi terhadap artis terbabit.

Penyanyi itu kemudian memohon maaf kepada semua pihak menerusi satu hantaran di akaun media sosialnya hari ini.

Sumber – FMT