Bukit Aman sahkan siasat dakwaan kes Ebit Liew, 13 saksi dipanggil bantu siasatan

Bukit Aman sahkan siasat dakwaan kes Ebit Liew, 13 saksi dipanggil bantu siasatan

13 saksi telah dipanggil polis untuk membantu siasatan gangguan seksual yang membabitkan pendakwah bebas, Ebit Lew.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan daripada Mondy Tattoo, lima hari sebelum Ebit Lew tampil membuat laporan mendakwa dirinya telah difitnah secara melampau.

Beliau turut mengesahkan pempengaruh berasal dari Indonesia itu masih berada dalam negara dan telefon bimbit miliknya telah dirampas untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini, polis telah memanggil seramai 13 saksi berhubung kedua-dua kes tersebut.

“Kita ambil telefon Mondy untuk membantu siasatan. Memang ada peruntukan undang-undang bila ambil, kita siasat pengisian sama dengan apa yang dicakap, masa kejadian dan lain-lain.

“Kes ini masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (kerana merogol), Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya.

Terdahulu, Mondy secara terbuka mendakwa pendakwah bebas itu telah menyentuh tangan dan pipinya, serta cuba menciumnya semasa hari pertama tiba di Malaysia.

Ekoran pendedahan itu, Ebit yang baru pulang dari Jeddah terus segera membuat laporan polis dan menegaskan bahawa dia telah difitnah secara melampau.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila rakan baik Ebit di Indonesia pula mendakwa Mondy sengaja berbohong untuk mendapatkan wang daripada Caprice. Tetapi dakwaan itu dinafikan oleh Caprice.