Bunuh isteri sehari sebelum hari raya, mekanik berdepan hukuman gantung
Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memukul isterinya hingga maut sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Tertuduh, Mohd Syawalludin Ismail, 38, didakwa membunuh Siti Nadirah Mohd Nazul, 28, di sebuah rumah di Taman Koperasi Maju Jaya, Cheras, pada 1 Mei lalu antara jam 12 tengah malam hingga 3.30 pagi.
Tertuduh yang hanya memandang ke lantai sepanjang pertuduhan dibacakan dan kemudian mengangguk kepala namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Pertuduhan itu dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.
Pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 14 Jun untuk penyerahan dokumen.
Terdahulu, tertuduh dikawal ketat oleh anggota polis sebaik sahaja turun dari kenderaan polis kira-kira jam 9.15 pagi tadi.
Dia yang berpakaian gelap agak terkejut dengan kehadiran pengamal media yang menunggu kehadirannya di mahkamah tersebut.
Pada 6 Mei lalu, seorang wanita mati dipukul suami yang berang apabila mendapati isterinya memuat naik gambar skandal lelaki itu dengan wanita lain di laman media sosial pada 1 Mei.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, semasa kejadian suspek dan mangsa dipercayai berada di dalam rumah melakukan persiapan akhir menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu mempunyai empat anak berusia antara tujuh tahun hingga enam bulan.
Menurut Mohd Zaid, pegawai perubatan Hospital Kajang melaporkan telah menerima seorang pesakit wanita yang dihantar oleh suaminya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudian disahkan telah meninggal dunia pada jam 9.16 pagi.