Cadang debat antara calon Ketua Menteri, BN dan PN senyap seribu bahasa
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencadangkan diadakan debat terbuka melibatkan calon-calon Ketua Menteri antara PH, PN dan BN pada masa terdekat.
Ini dakwanya selepas kerajaan melalui kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Tpr Annuar Musa mengumumkan hasrat memberi peluang kepada kesemua parti bertanding pada PRN Melaka diberi ruang berkempen melalui media saluran kerajaan semalam.
“Saya sambut baik malah mengalu-alukan hasrat kerajaan yang menyatakan kesediaan untuk memberi ruang berkempen sama rata kepada semua calon-calon PRN Melaka termasuk yang ditonjolkan PH di saluran media rasmi kerajaan.
“Saya yakin cadangan ini adalah wahana terbaik dalam melonjak nama Malaysia sebagai contoh negara demokrasi yang sihat dan matang,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilaporkan portal akhbbar MalaysiaGazette.
Jelasnya, perincian perkara itu masih dalam perbincangan bersama pihak berkaitan terutama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan akan diumumkan dalam masa terdekat, sementelah terhasilnya debat secara langsung antara Wee Ka Siong dan Lim Guan Eng yang dapat ditonton melalui siaran Media Prima Bhd baru-baru ini.
Baru-baru ini, ketiga-tiga gabungan terbesar parti bertanding menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap sekatan berkempen dikeluarkan KKM dan SPR yang dianggap tidak masuk akal.