Cadangan Dr. M supaya dipotong gaji menteri mendapat sokongan pelbagai pihak

Cadangan Dr. M supaya dipotong gaji menteri mendapat sokongan pelbagai pihak
Pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak menyatakan sokongan atau bantahan terhadap Belanjawan 2021, memperlihatkan ada perkara yang perlu ditambah baik kerajaan.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Ahmad Marthada Mohamed berpendapat ia satu petanda bahawa Dr Mahathir mahukan kerajaan mempamerkan lebih empati dan keprihatinan terhadap situasi semasa rakyat.
“Sebagai seorang yang mempunyai latar belakang perubatan, Dr Mahathir tentunya memahami keutamaan kerajaan kini adalah memastikan COVID-19 dapat dikekang dan sebagai bekas perdana menteri beliau juga tentunya tahu, isu ekonomi dan kemaslahatan rakyat perlu diberi fokus.
“Tetapi dalam masa yang sama, masih ada banyak aspek dalam belanjawan itu yang dirasakan perlu ditambah baik, kerana itu beliau reserve pendapat.
“Antara yang beliau tekankan ialah pemotongan gaji menteri.
“Cadangan ini sebenarnya satu gambaran bahawa beliau mahu lihat kerajaan ikhlas tunjukkan keprihatinan terhadap situasi semasa rakyat,” katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI.
Tambah Prof Marthada, saranan Dr Mahathir perlu dipertimbang kerana ia bersifat rasional dan sesuai dengan keadaan semasa.
“Ketika ramai rakyat yang hilang pekerjaan dan ekonomi pula tidak baik, cadangan potongan gaji menteri itu akan menunjukkan komitmen anggota Kabinet.
“Saya pasti cadangan beliau akan diberi perhatian kerana saya melihat saranan beliau sebagai langkah yang rasional dan tidak sukar untuk kerajaan pertimbang,” katanya.
Sumber: Astro Awani