Calon PKR bagi DUN Semerah dibantah ahli sendiri [video]

Calon PKR bagi DUN Semerah dibantah ahli sendiri [video]

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah Mohd Khuzzan Abu Bakar diumumkan bakal mempertahankan kawasannya selepas dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada bulan hadapan.

Bagaimanapun, ketika nama Mohd Khuzzan diumumkan pada malam ini terdapat sedikit protes dipercayai daripada ahli parti itu.

.
“Ini kali kedua (menerima protes), pada pilihan raya lalu juga begini. Saya menyerahkan kepada masyarakat dan pemilih untuk memilih.

“Ini cuma sebahagian sahaja (yang protes) tetapi masih ramai lagi yang menyokong.

“Bagi mereka yang memprotes tadi, saya akan pastikan dapat mengukuhkan semula hubungan sesama anggota parti bagi memastikan kemenangan kerusi DUN Semerah akan datang,” katanya selepas majlis Pengumuman Calon PKR PRN Johor Zon Utara di sini, malam ini.

Menurut Harian Metro, selain Mohd Khuzzan, seorang lagi calon diberi amanah bertanding semula iaitu penyandang kerusi DUN Bukit Naning, Ysahrudin Kusni.

Lima calon lain yang diumumkan adalah muka baharu, Yoong Thau (DUN Pemanis), Naim Jusri (DUN Gambir), Azmi Masrani (DUN Sri Medan), Abdullah Sahid (DUN Sungai Balang) dan C Subramani (DUN Buluh Kasap).

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pengumuman calon PKR untuk Zon Utara.

Kerusi DUN Semerah dianggap kerusi panas pada PRN Johor dan Mohd Khuzzan berkata, walaupun memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti hanya 98, beliau tetap mengambil cabaran dan akan buat yang terbaik untuk masyarakat di kawasan itu.