Calon PRU-15, Adam Adli antara nama baru bakal diketengahkan PKR
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui nama-nama calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sudah diusulkan, namun ia masih belum dimuktamadkan.
Beliau berkata, calon-calon itu harus disaring terlebih dahulu sebelum dipilih, namun, perkara itu bukan keutamaan parti ketika ini kerana PKR sedang fokus sepenuhnya kepada memperkuatkan jentera bagi menarik sokongan golongan belia.
Katanya, kemasukan anggota baharu seperti Adam Adli Abdul Halim dan 20 orang lagi aktivis yang sudah dikenali ramai dilihat mampu untuk menarik lebih ramai orang muda yang bukan ahli parti.
“Nama calon memang diusulkan tetapi ada saringan di peringkat jawatankuasa tertentu, namun, belum sampai ke tahap memilih, kerana sekarang ini tumpuan kita adalah menggerakkan jentera parti.
“Adam bersama teman-teman mempunyai kekuatan untuk turun dan menggerakkan teman-teman lain untuk memberi kefahaman, mengapa mereka memilih PKR, ini lebih berkesan selain menyelaras dengan Anggota Muda Keadilan (AMK) bagi menjelaskan di luar kotak parti supaya anak muda bukan ahli parti boleh mendapat penjelasan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Ketika ditanya sama ada PKR akan meletakkan lebih ramai calon muda pada PRU-15, beliau memberi jaminan bahawa partinya tidak akan meminggirkan orang muda yang sesuai untuk menjadi calon.
“Penyertaan orang muda dan wanita dalam PKR itu tinggi. Sejarah dari awal menunjukkan bahawa kita paling banyak tonjolkan tokoh-tokoh muda dalam kalangan ahli Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan ahli majlis, tetapi, pendirian kita kekal bahawa kita akan pilih calon yang terbaik, kalau calon itu muda atau wanita atau berpengalaman kita akan pilih, itu lebih penting. Ramai orang muda ketika ini menunjukkan keupayaan dan kelayakan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menyifatkan ketiadaan akta dana politik, isu pemisahan kuasa kehakiman serta cadangan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang tidak bermakna Pakatan Harapan (PH) tidak serius dengan ketiga-tiga isu tersebut.
“Kalau teliti MoU itu, yang ditekankan adalah tatakelola yang baik, kebebasan badan kehakiman ditekankan dalam salah satu peruntukan MoU, ini saya boleh jelaskan kepada Transparency International sebenarnya.
“Membanteras rasuah adalah salah satu tonggak perjuangan kami dan PH, ia antara hal yang menjadi asas, tidak boleh kompromi tetapi perjuangan ini tidak terikat dengan MoU, ucapan saya dan rakan-rakan di Parlimen setelah MoU jelas menunjukkan pendirian kita,” katanya.
Symber – UTUSAN ONLINE