Campur tangan AG didakwa selamatkan pengurusan syarikat Serba Dinamik dari hukuman penjara

Campur tangan AG didakwa selamatkan pengurusan syarikat Serba Dinamik dari hukuman penjara

Pelaporan kewangan ini bukan benda main-main

Semalam nilai saham Serba Dinamik menjunam apabila dibenarkan untuk didagangkan semula di Bursa Malaysia. Sebelum ini beberapa orang pengarah dan pengurusan kanan syarikat berkenaan dikompaun RM 3 juta seorang oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) kerana penglibatan mereka di dalam penyediaan penyata kewangan yang mengelirukan.

Sebenarnya SC, dengan persetujuan Peguam Negara, sudah pun mendakwa mereka yang berkenaan di mahkamah. Di dalam kes jenayah, SC memerlukan persetujuan Peguam Negara kerana hanya Peguam Negara ada hak mendakwa kes jenayah. Namun, Peguam Negara sebagai wakil rakyat Malaysia akhirnya mahu kes ini dikompaun sahaja setelah menerima representasi dari pihak yang kena dakwa. Walaupun nilai kompaun tinggi, orang yang dituduh bebas dari disenaraikan sebagai penjenayah dan rekod mereka bersih untuk terus menguruskan syarikat ini macam orang lain. Mereka juga bebas dari dipenjarakan.

Pelaporan kewangan di setiap peringkat adalah satu perkara yang besar. Ianya adalah sebahagian dari tanggungjawab orang yang memikul amanah untuk menunjukkan bagaimana amanah yang mereka pikul telah disempurnakan. Tak kiralah syarikat tersenarai ke, syarikat persendirian ke, GLC ke, GLIC ke, jawatankuasa masjid ke, pengurus rumah anak yatim ke, pengurus tahfiz ke, semuanya melibatkan pengurusan kewangan. Jadi menyediakan penyata kewangan yang memberikan gambaran yang benar dan saksama adalah sebahagian dari akauntabiliti mereka ke atas dana yang diurus dan ditadbir oleh mereka.

Untuk menyediakan penyata kewangan, kenalah ada sistem perakaunan yang membolehkan urusniaga berkenaan direkodkan dengan sempurna dan dilaporkan dengan baik. Ini seharusnya menjadi perhatian setiap insan yang ada tanggungjawab pentadbiran dan pengurusan. Jika sistem perakaunan tidak diwujudkan dengan baik, bagaimana kita sebagai pengurus dan pentadbir tahu kita telah menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan sempurna?

Satu perkara penting di dalam penyediaan penyata kewangan ialah membezakan entiti yang dilaporkan dengan individu-individu yang mengurus dan mentadbir entiti berkenaan. Contohnya, derma kepada sekolah tahfiz tidak boleh dimasukkan ke dalam akaun pengurusnya, tak kira jenis pakaian dan saiz serban pengurus berkenaan. Jika dana sudah bercampur-campur, bagaimana pengurus demikian boleh tahu yang mana dana sekolah dan yang mana dana milik peribadi beliau? Jika tersalah belanja bagaimana?

Siapa berani kata RM 1 yang disalah belanja atau salah labur adalah satu nilai yang kecil di sisi Allah? Jika tidak ada sistem perakaunan yang baik, risiko untuk kita tersalah guna dan tersalah labur beribu-ribu Ringgit adalah tinggi. Jadi, pihak pengurusan yang tidak mewujudkan sistem perakaunan yang baik adalah orang-orang yang memang berani kerana risko yang saya nyatakan di atas itu.

Biasanya, sebelum penyata kewangan dibentangkan kepada pihak yang berkepentingan seperti pemegang saham, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Perlimen dan mana-mana pihak yang ada hak ke atas dana yang diuruskan itu, ianya diaudit terlebih dahulu. Oleh kerana penyediaan penyata kewangan dibuat oleh pihak yang ada kepentingan (pengurus dan pentadbir) pihak ketiga yang bebas seperti juruaudit perlu mempastikan secara keseluruhan penyata kewangan demikian memberikan gambaran yang benar dan saksama.

Juruaudit juga perlu ada ilmu, kemahiran dan nilai-nilai profesional yang tinggi. Penyeliaan juruaudit ni bidang sayalah. Tak kita hebat mana nama firma audit atau jabatan audit, tidak semua juruaudit mempamirkan kebebasan dan tanggungjawab yang sepatutnya. Ada yang bermasalah. Inilah sebabnya kerja-kerja juruaudit juga memerlukan pemantauan.

Menyediakan penyata kewangan yang mengelirukan seperti sengaja menambah jualan yang sebenarnya tidak pernah ada atau gagal untuk merosotnilai aset yang nilai pasarannya jauh lebih rendah dari kos asal adalah kezaliman ke atas pihak-pihak yang ada hak ke atas dana yang diuruskan itu. Walau pun nampak cantik di atas kertas, sebenarnya ada banyak lubang-lubang yang tidak kelihatan. Jika juruaudit pun gagal menjumpai lubang-lubang ini, malanglah pihak yang haknya sudah dicabul itu.

Sebelum kes Serba Dinamik, saya dengan yakin boleh mengatakan sesiapa yang membuat pelaporan kewangan yang mengelirukan di pasaran modal, jika tertangkap, akan dipenjarakan. Ini adalah kerana sudah ada beberapa orang yang melakukan jenayah demikian sudah pun masuk penjara selepas disabitkan kesalahan mereka di mahkamah. Sekarang, saya sudah tidak boleh membuat kenyataan sedemikian kerana di dalam kes ini, tak dibicarakan pun. Jadi, kita semua tak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Yang menghairankan, orang-orang yang terlibat sanggup membayar kompaun yang maksima.

Adakah ini menggambarkan bahawa pelaporan kewangan sudah menjadi perkara yang tidak penting dari segi kepentingan awam (public interest)? Adakah hak pemegang saham, pelabur, pembiaya dan institusi kewangan yang memberikan pembiayaan berbilion itu dikira kecil? Apakah mesej di sebalik keputusan ini?

Sebagai orang Islam, kita kena ingat bahawa segala apa yang kita putuskan dan lakukan di dunia ini akan diadili oleh Allah SWT yang Maha Adil di akhirat. Kita boleh lepas di dunia ini dengan pelbagai helah dan cara namun bagaimana kita nak lepas di hadapan Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu itu?

Saya berpegang kepada satu riwayat yang mana Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa baginda membuat keputusan berdasarkan apa yang dibentangkan kepada baginda. Jika ada orang yang terlepas kerana pandai mempertahankan diri, itu tidak bermakna dia akan terlepas di akhirat kelak.

Jadi, jangan main-main dengan tanggungjawab untuk melaporkan prestasi kewangan melalui penyediaan penyata kewangan yang tinggi kualitinya. Ini bukan sahaja membolehkan kita menyempurnakan tanggungjawab sebagai orang yang memikul amanah untuk mentadbir dan mengurus, ia juga إن شاءالله membebaskan kita dari menghadapi maslah ketika dihisab oleh Allah SWT nanti.

والله أعلم

Sumber – FB Nik Hasyudeen