Caprice tamatkan zaman bujang dengan ibu tunggal

Caprice tamatkan zaman bujang dengan ibu tunggal

Penyanyi rap sensasi, Caprice dikhabarkan sudah menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihan hati, Farra Inalis yang berusia 26 tahun.

Menerusi sekeping foto yang dimuat naik dalam Instastory seorang individu bernama Yasser Khan, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 33, kelihatan dengan pasangannya, yang sama cantik sama padan mengenakan persalinan persis baju nikah.

Hantaran berkenaan turut dikongsikan semula oleh penyanyi yang juga anggota kumpulan DeFam, Azira Shafinaz menerusi Instagramnya.

Berdasarkan carian media sosial, wanita yang dikahwini Caprice itu berstatus ibu tunggal anak satu.
 
Wanita dikahwini Caprice dikhabarkan berstatus ibu tunggal anak satu.

Bagaimanapun pembantu peribadi Caprice yang dikenali sebagai Aiman tidak dapat mengesahkan kesahihan berita berkenaan namun lebih rela membiarkan agar perkara itu dijawab sendiri oleh pelantun lagu Lenglui itu nanti.

“Saya tidak boleh nak sahkan betul atau tidak. Tapi kalau orang kongsi gambar dia (berkahwin), sarung cincin di jari wanita, maksudnya, memang betullah dia dah kahwin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Ujar Aiman, Caprice sudah berkenalan dengan wanita berkenaan sejak 10 tahun lalu dan dia berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang.

“Apa yang saya tahu Caprice telah berkenalan dengan wanita itu sejak 10 tahun. Saya sendiri tak dimaklumkan tentang pernikahannya kerana sekarang saya berada di Langkawi. Saya dapat tahu dia berkahwin sekitar pukul 5 petang hari ini.

“Dia (isteri Caprice) baik orangnya dan dia berasal dari Kelantan. Apa-apa maklumat lanjut, akan datang dari bibir Caprice sendiri nanti,” katanya.

Usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan komen lanjut daripada bibir Caprice sendiri masih belum berhasil apabila dia tidak menjawab mesej dan panggilan telefon