Cara betul pilih minyak hitam sesuai dengan kereta, jangan main tukar je

Cara betul pilih minyak hitam sesuai dengan kereta, jangan main tukar je

 

Minyak pelincir atau lebih dikenali sebagai minyak hitam merupakan satu aspek penting dalam penjagaan enjin yang efektif.

Penggunaan minyak hitam yang sesuai dan berkualiti tinggi dapat meningkatkan prestasi enjin serta memastikan umur enjin kenderaan lebih panjang.

Namun, minyak hitam memiliki pelbagai jenis dan ketahanan yang berbeza, yang perlu diperhatikan, bukan sekadar bergantung pada nilai jarak atau mileage sebagai penentu pemilihan minyak hitam kenderaan.

Mungkin ramai yang tidak menyedari, setiap botol minyak hitam kenderaan dilabel dengan pelbagai maklumat yang memerlukan pemahaman.

Dalam sebuah video yang dikongsi oleh pemilik akaun TikTok @pakwee_0e, dijelaskan tentang makna nombor dan huruf pada botol minyak hitam.

Makna Huruf Pada Botol Minyak Hitam

Dalam klip tersebut, Pakwee memberitahu bahawa setiap botol atau tong minyak hitam mempunyai nombor dan huruf seperti 10W-40, 5W-40, 5W-30.

Secara ringkas, label pada nombor dan huruf di bahagian depan merujuk kepada ketahanan minyak hitam pada suhu sejuk (W = Winter).

Apabila nombor semakin rendah, minyak hitam memiliki ketahanan yang lebih baik pada suhu rendah. Nombor pada bahagian belakang pula menunjukkan ketahanan minyak hitam pada suhu panas. Jika nombor pada label botol semakin tinggi, bermakna ketahanan minyak hitam itu lebih baik pada suhu panas.

Tahap Kelikatan Minyak Hitam

Jika nombor di bahagian belakang tinggi, kelikatan minyak hitam juga lebih tinggi (lebih pekat). Sebaliknya, jika nombor pada label belakang rendah, minyak hitam lebih cair.

Pemilihan Minyak Hitam Mengikut Penggunaan Kenderaan

Dalam video tersebut, Pakwee menekankan bahawa pemilihan minyak hitam bergantung kepada penggunaan kenderaan.

Pemilik kenderaan yang sering melakukan perjalanan jauh atau sentiasa berada di lebuh raya disarankan menggunakan minyak hitam dengan nombor di bahagian belakang yang lebih tinggi, seperti 5W-30 ke atas.

Bagi pengguna yang melakukan perjalanan jarak dekat, terutama di dalam bandar, minyak hitam dengan nombor di belakang lebih rendah, seperti 5W-30 ke bawah, adalah pilihan yang sesuai.

Gred Minyak Hitam

Dalam video kedua, Pakwee menjelaskan tentang gred yang terdapat pada label minyak hitam, seperti API SF, API SN, API SP.

American Petroleum Institute atau API merujuk kepada piawaian standard minyak hitam yang telah ditetapkan di Amerika Syarikat.

Baginya, disarankan untuk menggunakan minyak hitam dengan label SN ke atas bagi pemanduan yang lebih tahan lama dan untuk perjalanan jauh.