Cara untuk langsaikan hutang rumah dengan lebih cepat

Cara untuk langsaikan hutang rumah dengan lebih cepat

 

SETIAP daripada kita pasti mempunyai impian untuk memiliki rumah sendiri. Tetapi, apabila sudah memiliki rumah, banyak pula tanggungjawabnya.

Walaupun memiliki rumah sendiri boleh menjadi sebuah pencapaian penting dan membanggakan, ia juga menandakan permulaan kepada perjalanan yang panjang bagi anda membayar semula pinjaman rumah.

Ada yang berpendapat bahawa pinjaman yang diambil untuk hartanah dengan asas yang betul boleh dianggap sebagai hutang baik, ada juga mahu bebas daripada belenggu hutang secepat mungkin.

1.Biaya semula, pendekkan tempoh pinjaman

Bertukar kepada pinjaman gadai janji dalam jangka yang lebih pendek boleh memberi pelbagai faedah. Sebagai contoh, jika anda mempunyai pinjaman RM600,000 pada kadar faedah 4.5% setahun, ansuran bulanan untuk pinjaman 20 tahun adalah kira-kira RM3,800.

Sebaliknya ansuran bulanan untuk pinjaman 25 tahun adalah kira-kira RM3,350. Penjimatan dalam pembayaran faedah mencecah hampir RM100,000.

Walau bagaimanapun, sebelum anda menukar pelan pinjaman, pastikan anda mampu menanggung bayaran bulanan yang lebih tinggi.

2.Buat bayaran tambahan dalam jumlah yang kecil

Anda boleh membayar tambahan setiap bulan atau tahun untuk mengurangkan kadar faedah dan dapat membayar jumlah gadai janji lebih awal. Semak semula dengan pihak bank yang anda pilih berkaitan terma dan syarat gadai janji sebelum membuat pembayaran tambahan.

Sesetengah jenis gadai janji (pinjaman separa fleksibel atau fleksibel sepenuhnya) membenarkan anda membayar lebih daripada ansuran bulanan yang dinyatakan.

Walau bagaimanapun, sila ambil perhatian bahawa pinjaman separa fleksibel atau fleksibel sepenuhnya kadangkala boleh menawarkan kadar faedah yang kurang kompetitif.

3.Pembayaran semula dalam jumlah yang besar kepada prinsipal

Jika anda mempunyai wang simpanan yang banyak dan kukuh seperti melebihi RM100,000, pemilik rumah digalakkan untuk membuat bayaran penuh sekali gus bagi menjimatkan pembayaran faedah dan memendekkan tempoh pinjaman.

4.Pengeluaran KWSP

Anda boleh mengeluarkan daripada wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 2 untuk mengurangkan atau menjelaskan baki pinjaman perumahan.

Namun, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi sebelum mengeluarkan wang daripada akaun tersebut. Syarat yang diperlukan adalah seperti berikut:

  • Berumur bawah 55 tahun
  • Mempunyai sekurang-kurangnya RM500 dalam Akaun 2 KWSP
  • Membeli atau membina rumah kediaman pertama atau kedua*
  • Pinjaman perumahan tertunggak dengan penyedia pinjaman yang diiktiraf oleh KWSP
  • Rumah kediaman telah dicaj sebagai cagaran

*Rumah kediaman mengikut KWSP – banglo, rumah teres, berkembar, pangsapuri, kondominium, pangsapuri studio, pangsapuri servis, rumah bandar, SOHO atau lot kedai dengan unit kediaman di Malaysia.