Cari isu lainlah, Mufti Perlis saran PDRM gugurkan siasatan parodi Nilai 3
Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kenyataan jenaka pengguna Facebook mengenai status Nilai 3 di Negeri Sembilan nampaknya bukan saja tidak dipersetujui orang awam.
Sebaliknya ia turut menarik perhatian Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.
Melalui ciapannya dia dia mencadangkan agar pihak berkuasa itu menyiasat isu lain yang lebih penting ketika ini.
“Saya mohon mencadangkan, siasat isu lain yang lebih penting yang mencemarkan pengurusan Covid-19 di musim ini.
“Mohon maaf dan terima kasih,” katanya ringkas di Twitter hari ini.
Kenyataannya itu turut disertakan tangkap layar laporan media berhubung siasatan polis terhadap kes berkenaan.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan pihak polis membuka kertas siasatan berhubung hantaran kes seorang pemilik akaun Facebook mengenai kedudukan Nilai 3 yang didakwa berada dalam kawasan Selangor.
Polis Negeri Sembilan melihat hantaran itu sebagai perbuatan menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kegentaran awam.
Status Nilai 3 – yang terkenal sebagai kawasan membeli-belah – timbul selepas selebriti Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail tidak didakwa di mahkamah meskipun berbelanja di situ ketika larangan merentas negeri masih berkuat kuasa.
Selepas siasatan dibuka dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pasangan suami isteri itu kemudian didakwa di mahkamah hanya atas tuduhan gagal mendaftar masuk di premis perniagaan dan tidak memakai pelitup muka.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Fazley Ab Rahman dipetik Bernama sebagai berkata pemilik akaun tersebut dikenali sebagai ‘N9 Radar’ akan dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan. – MK