Cat Farish, Shikin Maembong akhirnya dedah makanan yang jadi pemikat hubungan cinta mereka

Cat Farish, Shikin Maembong akhirnya dedah makanan yang jadi pemikat hubungan cinta mereka

 

Siapa sangka hanya kerana sebekas rendang dua hati menjadi satu.

Itu yang berlaku kepada penyanyi rap yang juga komposer, Cat Farish bersama, kakak Emma Maembong, Shikin Maembong yang kini sedang dalam fasa berbunga cinta.

Kata pemilik nama penuh Siti Nur’ashikin Ismail, hubungan mereka berputik selepas bekas anggota kumpulan Ruffedge itu sama-sama mengikuti festival jualan Aidilfitri, Starvendor di Pusat Konvensyen KLCC pada Ramadan lalu.

“Kami ada berbual ketika sama-sama menyertai festival Aidilfitri, Starvendor di KLCC pada Ramadan lalu. Malah, anak saya juga rapat dengan anak-anaknya sewaktu mereka datang membantu.

“Ketika hari terakhir jualan, barulah saya berkesempatan singgah ke gerai jualannya dan diberitahu bahawa adik saya, Baby ada memesan rendang yang dijualnya,” ujar Shikin.

Sejak daripada situ, Shikin memberitahu hubungan mereka mulai rapat dan kini telah memasuki fasa bercinta selepas mengenali hati budi masing-masing.

Ketika ditanya tentang sifat dan keperibadian lelaki itu, Shikin menyifatkan Cat atau nama lengkapnya Farish Ramli, 49, mempunyai sifat kebapaan yang tinggi sehingga menjadi faktor utama pintu hatinya terbuka untuk mengenalinya.

“Abang (panggilan untuk Cat) mempunyai sifat kebapaan. Malaha nak perempuan saya, Putri Arianna juga pernah terpanggilnya sebagai ‘daddy’.

“Perkara itu menjadi isyarat ‘lampu hijau’ hubungan kami seperti direstui,” katanya.

Kata bekas menantu kepada cef selebriti terkenal, Chef Wan itu lagi, walaupun tempoh perkenalan mereka tidak sampai dua bulan, namun dia sudah melihat keistimewaan yang dimiliki lelaki itu terutama layanannya terhadap kanak-kanak.

“Anak saya (Arianna) juga sangat rapat dengan anak-anak Cat, terutama yang sulung. Jika sebelum ini Arianna pernah memberi amaran kepada saya supaya tidak berkawan dengan mana-mana lelaki. Tetapi kali ini berbeza pula,” jelasnya.

Tentang hala tuju hubungan mereka, Shikin menyerahkan perkara itu kepada Cat yang juga diterima baik oleh keluarganya.

“Setakat ini abang sudah berjumpa dengan adik beradik saya kecuali bapa ketika sambutan hari jadi Arianna baru-baru ini.

“Malah saya juga telah dibawa berjumpa dengan keluarganya di Ipoh, Perak ketika hari raya lalu. Tentang kahwin, abang ada cakap tentang perkara itu. Doakan urusan kami dipermudahkan,” kata Shikin.

Terdahulu, Shikin pernah mendirikan rumah tangga dengan Chef Riz yang juga anak kepada Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan pada 2014 tetapi bercerai dua tahun kemudian. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan Putri Arianna.

Shikin kemudiannya berkahwin buat kali kedua pada Mac 2020. Bagaimanapun, mahligai yang dibina tanpa cahaya mata itu cuma bertahan selama dua tahun sebelum berpisah.