Cerminlah wajah dahulu sebelum arahkan rakyat patuh SOP, peguam kanan bidas MB Kedah
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor hilang kredibiliti dan hak untuk menegur rakyat atas lonjakan kes Covid-19 di negeri itu, selepas beliau dikompaun kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) baru-baru ini, kata Pengasas Piagam Rakyat, Mohamed Haniff Khatri.
Haniff yang juga peguam berkata, Sanusi sepatutnya menyalahkan diri, bukannya rakyat atas peningkatan kes Covid-19 di Kedah kerana enggan mematuhi SOP.
“Seseorang pemimpin, apatah lagi menteri besar yang sudahpun didapati bersalah melanggar sesuatu undang-undang semestinya hilang hak dan hilang kredibiliti untuk kemudiannya membuat kenyataan berkaitan pelanggaran undang-undang yang sama.
“Kalau cikgu kencing berdiri, maka anak murid pasti akan kencing berdiri, sambil berlari di atas keretapi ekspres kelajuan tinggi,” katanya dengan sinis dalam kenyataan.
Pada 5 Jun lalu, seorang wanita melalui Facebook mendedahkan beliau ternampak Sanusi dan dua pembantunya memandu uji sebuah pikap berharga RM211,000 di Juru Auto City.
Sanusi bagaimanapun menafikan beliau memandu uji kenderaan itu, sebaliknya jurujual yang memandu kenderaan itu.
Selain memuat naik gambar dan video Sanusi tiba di sebuah pusat pameran kenderaan di Juru Auto City ke Facebook, wanita itu turut membuat laporan polis pada hari sama.
Susulan itu, Sanusi dikompaun RM1,500 kerana melanggar SOP PKP berkaitan pandu uji sebuah pikap di Juru.
Haniff berkata, ketika isu Sanusi melanggar SOP itu tular, pegawainya mengeluarkan pelbagai kenyataan tidak masuk akal dan bercanggah.
“Seolah-olah menafikan ketidakpatuhan dan pelanggaran SOP berkaitan.”
Selain Sanusi, beliau turut membidas beberapa pemimpin politik yang dilaporkan “berkenduri durian, menjamu selera di restoran kegemaran, mahupun membuat pesanan ‘Nasi Ganja’ menggunakan khidmat helikopter”.
Sumber – FMT