ChatGPT didik pelajar di sekolah dan universiti menipu?
Aplikasi perisian kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT yang mempunyai keupayaan untuk menjana teks seperti manusia dikatakan semakin membimbangkan kumpulan pendidik di negara-negara maju.
Ini berikutan teknologi canggih seperti itu dikhuatiri boleh mencetuskan ‘wabak’ penipuan di kalangan pelajar sekolah dan universiti.
Dibangunkan oleh firma OpenAI, program tersebut dilihat berpotensi untuk merevolusikan cara individu berinteraksi dengan komputer dan ketika ini telah mula disepadukan ke dalam pelbagai industri.
Menurut Profesor Madya Universiti Edinburgh Napier, Sam Illingworth, penggunaan ChatGPT dalam bidang pendidikan di United Kingdom (UK) telah menimbulkan beberapa cabaran yang perlu dipertimbangkan.
ChatGPT mencetuskan perdebatan tentang masa depan pendidikan tradisional kerana dikatakan mampu menulis esei dengan baik dan menjawab banyak soalan dalam bilik darjah.
“Terdapat potensi ChatGPT digunakan untuk menipu dalam peperiksaan atau tugasan.
“Memandangkan ia mampu menjana teks seperti manusia, ChatGPT boleh digunakan untuk menulis keseluruhan tugasan atau esei, menyukarkan pendidik untuk mengesan penipuan,” jelasnya.
Selain dari penipuan, perkara yang turut menjadi kebimbangan di kalangan pendidik adalah disebabkan AI secara amnya mampu mengancam kemahiran menulis dan kepentingan melihat penulisan sebagai wadah untuk berfikir dalam kalangan pelajar.
“AI ini akan menjejaskan kedua-dua kemahiran menulis dan motivasi untuk menghasilkan karangan serta menggarap idea mereka sendiri,” tambahnya.
Jika ChatGPT digunakan untuk menilai tugasan atau peperiksaan pula, terdapat kemungkinan bahawa keputusan boleh menjadi berat sebelah terhadap kumpulan pelajar tertentu.
“Contohnya, ChatGPT mungkin lebih berkemungkinan memberikan gred lebih tinggi kepada pelajar yang menulis dalam gaya yang biasa digunakan, sekali gus berpotensi membawa kepada amalan penggredan yang tidak adil.
“Selain itu, jika program itu digunakan untuk menggantikan tenaga pengajar manusia, ia boleh mengekalkan ketidaksamaan yang sedia ada dalam sistem pendidikan, seperti kurang perwakilan demografi dalam bidang pengajian tertentu,” ujar profesor itu lagi.
Meskipun ChatGPT ketika ini dikatakan telah mencetus kebimbangan dan dilema etika terhadap integriti akademik, terdapat juga peluang program tersebut dapat dimanfaatkan dari sudut berbeza.
“Kecanggihan dan keupayaan teknologi AI semakin pantas. Daripada bertindak balas, kita seharusnya menerimanya secara positif.
“Tenaga pengajar boleh memikirkan cara menyesuaikan penilaian pelajar secara khusus selain mencari pendekatan yang lebih baik, kreatif dan relevan untuk pembelajaran mereka dan tidak hanya menumpukan kepada teori semata-mata,” tambah Sam Illingworth.
Sebelum ini, Jabatan Pendidikan New York City telah mengharamkan ChatGPT kerana bimbang mengenai kesan negatif yang dikatakan berupaya mempengaruhi tahap pembelajaran pelajar-pelajarnya.
“Walaupun alat itu mungkin dapat memberikan jawapan yang cepat dan mudah kepada setiap soalan, ia tidak membina kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif terutama dalam bab menyelesaikan masalah,” tegas wakil jabatan tersebut, Jenna Lyle.
Di Australia, beberapa universiti dipetik berkata mereka akan menukar format peperiksaan dan menolak penggunaan sebarang program berkaitan AI kerana menganggapnya sebagai satu penipuan.