Chegubard, budak suruhan Azmin bakal disaman taikun RFID

Chegubard, budak suruhan Azmin bakal disaman taikun RFID

Taikun Lee Kim Yew mahu pemimpin Bersatu Johor Badrul Hisham Shaharin memadamkan hantaran di media sosial yang mengaitkan ahli perniagaan itu dengan pelaksanaan sistem pengenalan frekuensi radio (RFID) di plaza tol.

Taikun Lee Kim Yew

Badrul Hisham, dikenali sebagai Chegubard mendakwa pada hari Sabtu bahawa SMTrack Bhd mendapat manfaat daripada pelancaran RFID.

Dia juga menuduh Lee – yang didakwanya sebagai kroni Dr Mahathir Mohamad – telah membeli lima peratus saham dalam SMTrack pada Disember.

Pada hantarannya juga, Badrul menekankan bahawa menantu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi Saiful Nizam Mohd Yusoff ialah pengarah bukan eksekutif bebas di syarikat itu.

“Jelas kepada kita tindakan menggantikan SmarTAG ke RFID mempunyai kaitan secara langsung dengan kepentingan politik pihak tertentu,” kata Badrul (gambar, bawah) di Facebook.

Pada satu kenyataan hari ini yang dilaporkan Malaysiakini, Lee berkata dakwaan Badrul itu merupakan fitnah dan tohmah.

“Dia tidak perlu meminta maaf dan saya harap apabila dia membaca surat ini, dia akan membuang hantaran itu daripada media sosial dengan tenang kerana hantaran itu tidak benar,” kata Lee.

Taikun itu menambah, jika Badrul gagal memadamkan hantaran berkenaan, dia akan memulakan prosiding undang-undang untuk mempertahankan nama keluarganya.

Katanya, laporan polis telah dibuat berhubung hantaran berita palsu.

The Edge pada hari Sabtu melaporkan SMTrack berkata walaupun ia berurusan dalam RFID, tetapi ketika ini ia tidak terlibat dalam pelaksanaan teknologi di plaza tol di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya syarikat itu boleh membantu menyumbang dalam bidang itu.

Menurut SMTrack juga, Lee bukan sebahagian daripada pasukan strategik dan operasi syarikat serta tidak terlibat dalam melobi projek.

The Edge juga melaporkan bahawa SMTrack telah meletakkan ganjaran AS$10,000 untuk maklumat mengenai mereka yang bertanggungjawab terhadap penyebaran tuduhan terhadap syarikat itu.

Ganjaran berkenaan dilaporkan dicadangkan oleh Lim.

Kerajaan pada awal bulan ini cuba memulakan pemansuhan Touch n Go dan SmartTag secara berperingkat bagi memberi laluan kepada sistem RFID.

Namun, pelaksanaannya tidak lancar. Kabinet pada 20 Jan memutuskan pengguna jalan raya boleh memilih antara Touch n Go, SmartTag atau RFID.