Chery akhirnya dedah masalah kimpalan punca gandar belakang Omoda 5 tertanggal

Chery akhirnya dedah masalah kimpalan punca gandar belakang Omoda 5 tertanggal

 

Chery Auto Malaysia menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan telah memanggil balik sebanyak 600 unit  model Omoda 5 dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi menyelesaikan isu kenderaan yang terkesan mengikut piawaian keselamatan tertinggi.

Menurut Naib Presiden Chery Auto Malaysia, Lee Wen Hsiang, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan kementerian berkenaan bagi menjelaskan status semasa pemeriksaan produk dan punca sebenar yang melibatkan insiden gandar belakang Omoda 5.

Tambah beliau, syarikat itu telah menjalankan penyiasatan menyeluruh ke atas kes terpencil ini dan menghubungi pembekal bahagian untuk penjelasan lanjut.

Selepas siasatan menyeluruh dijalankan, vendor melaporkan bahawa isu tersebut berpunca daripada proses naik taraf fasiliti pada ketika itu bagi menggantikan muncung mesin kimpalan automatik yang haus dengan yang baharu, hingga menyebabkan salah kalibrasi terhadap peralatan tersebut.

Syarikat tersebut melaporkan sebanyak 60 unit Omoda 5 di Malaysia telah dikenalpasti menggunakan komponen yang bermasalah itu, yang dikilangkan pada 15 Ogos 2023.

Chery Auto Malaysia kemudian meluaskan lagi kempen panggilan semula itu dengan melibatkan komponen yang dikilangkan pada 14 dan 17 Ogos, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 600 unit.

Setakat semalam, Chery Auto Malaysia telah menghubungi seramai 32 orang daripada 60 pemilik yang terkesan.

Pihak syarikat juga telah mewujudkan satu laman web khas bagi pemilik Omoda 5 untuk mengesahkan sama ada kenderaan mereka terlibat atau tidak, dengan hanya memasukkan VIN kenderaan mereka di pautan INI.

Chery Auto Malaysia turut mengesahkan bahawa tiada kenderaan lain keluaran jenama tersebut yang turut terkesan.

Setakat 3 Mei 2024, pihak Chery Auto Malaysia telah menghubungi lebih daripada 53 peratus (32/60) pemilik yang terkesan.

Bagi memastikan pelanggan Chery mendapat maklumat yang mencukupi, kemas kini mingguan akan dikongsikan secara umum untuk memberikan segala maklumat terkini berkenaan status program tersebut.