Covid-19 : Doktor sedih berkongsi kisah pesakit pasca sembuh
Berbual dengan rakan staff perubatan yang dah sembuh dari jangkitan Covid. Mereka cuma dapat Covid kategori ringan namun kehidupan selepas sembuh langsung tak sama seperti dulu.
Ada yang hanya kategori 1 namun selepas tamat tempoh kuarantin barulah timbul simptom susah nafas, sakit badan. Padahal sihat tanpa simptom sepanjang kuarantin.
Ramai mengakui berasa seolah-olah masih ada jangkitan walau dah lebih 2 bulan sembuh. Tubuh rasa letih dan sakit badan sepanjang masa. Demam dedar sesekali. Susah nafas dan jantung laju. Ada yang cirit birit tak menentu.
Sesetengahnya tak mampu menjalani kehidupan seharian; nak pakai baju, nak mandi terasa lelah. Jalan terhoyong-hayang. Bawa kereta boleh melencong salah arah. Buat kerja pun asyik tak betul.
Namun majoriti bekas pesakit Covid kategori ringan kerap mengadu tentang masalah ingatan; mudah lupa, sukar fokus, fikiran melayang. Ia dipanggil brain fog. Seolah ada kabus dalam otak. Buat kerja melalut. Ada yang terdengar suara-suara yang tak wujud. Ada yang ternampak visual yang sebenarnya tiada.
Rakan saya masih hilang deria bau (anosmia) dan rasa (dysgeusia) walau dah 4 bulan sembuh Covid. Telur goreng yang amat digemarinya dulu, kini terasa amat meloyakan. Tanpa bau, tekstur telur goreng menjadi sesuatu yang menjijikkan. Begitu juga dengan makanan lain. Hilang berat badan berkilo-berkilo disebabkan tiada selera makan.
60% bekas pesakit Covid mengalami masalah deria hidu; dari kurang deria hidu (hyposmia) hinggalah hilang terus deria hidu (anosmia). 50% dari mereka akan terus mengalaminya lebih dari 2 bulan. Majoriti akan sembuh akhirnya namun 5-10% akan kekal anosmik. Masalahnya deria rasa berkait rapat dengan deria hidu. Jika tak dapat hidu maka tak dapat rasa.
Ramai bekas pesakit Covid mengadu agak kecewa kerana tiada klinik khas untuk mereka follow-up tentang simptom long-haul Covid mereka. Mereka sakit tapi tiada tempat mengadu. Para doktor pun tak tahu banyak tentang menangani long-haul Covid kerana penyakit ini baru setahun. Hanya boleh saring jika ada organ terjejas dan berikan kata semangat.
Ada pesakit Covid yang perlu melatih otak mereka dengan deria rasa yang baru. Mereka belajar semula yang rasa begini bermakna manis, atau masin dan sebagainya. Jika tidak, akan terlajak gula dan garam dalam masakan kerana deria rasa dah tak sama.
Begitu juga dengan bau. Perlu dilatih semula otak dengan bauan. Jika tidak, nasi hangit, rumah terbakar atau rakan serumah dah mati berulat pun tak sedar kerana tiada deria bau.
Ini baru Covid kategori ringan. Belum cerita tentang kesan sampingan Covid kategori berat.
Tak dapat saya bayangkan jika saya sendiri mengalaminya.
Saya doakan semua pesakit Covid sembuh sepenuhnya tanpa sebarang mudarat.
.
.
Hana Hadzrami
Yang dah sembuh Covid pun perlu ambil vaksin selepas 3 bulan. Imuniti asli anda hanya bertahan 2-3 bulan sahaja.