Covid-19 : Menteri Agama punca Muhyiddin dikuarantin 14 hari

Covid-19 : Menteri Agama punca Muhyiddin dikuarantin 14 hari

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kini menjalani kuarantin kendiri di rumahnya untuk tempoh 14 hari seperti yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya langkah itu diambil ekoran status Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zulkifli Mohamad, disahkan positif Covid-19 hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan petang ini Muhyiddin berkata pun begitu ia tidak akan mengganggu urusan kerajaan.

“Saya akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu saya pengerusikan,” katanya dalam kenyataan itu.

Zulkifli adalah antara anggota yang hadir dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Muhyiddin pada 3 Oktober lalu.

Kesan daripada status Zulkifli, KKM menjalankan ujian saringan ke atas semua ahli dan urusetia mesyuarat terbabit dan mereka yang dikenal pasti sebagai kontak rapat diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari mulai 3 Okt.

Mereka juga dipakaikan gelang pengawasan.

Bagi yang bukan kontak rapat pula dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri 14 hari bermula 3 Okt hingga 16 Okt serta memantau status kesihatan menggunakan aplikasi MySejahtera.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kata Muhyiddin, sejak April lalu, dia memang melakukan ujian saringan pengesanan Covid-19 setiap dua minggu.

Mula bertugas di pejabat esok

Katanya, semua ujian saringan itu memberikan keputusan negatif, termasuk tiga ujian terbaru yang dilakukan dalam tempoh tiga minggu lalu.

Sementara itu, Menteri Luar Hishammuddin Hussein pula memaklumkan dia sudah diberi pelepasan daripada kuarantin wajib oleh KKM hari ini setelah melakukannya di kediaman sendiri sejak 22 Sept lalu.

Katanya, sejak mula kuarantin, dia menjalani tiga ujian saringan Covid-19 yang kesemuanya memberikan hasil negatif.

Dengan keputusan itu, katanya, KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah Petaling mengeluarkan surat pelepasan kuarantin setelah berpuas hati dengan status kesihatannya.

Surat pelepasan dari menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah kediaman bagi kontak terdekat jangkitan (Covid-19) di aawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu berkuat kuasa hari ini.

“Dengan pengesahan ini, saya akan kembali menjalankan tugas-tugas di pejabat saya di Wisma Putra, Putrajaya seperti sedia kala bermula esok,” katanya di Facebook.

Dia turut memuat naik dokumen keputusan ujian saringan serta gambar gelang merah jambu yang telah dipotong di hantaran sama.

Hishammuddin sebelum ini diarahkan kuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan calon BN bagi DUN Pitas, Sufian Abdul Karim, yang positif Covid-19 semasa kempen pilihan raya negeri (PRN) Sabah, 21 Sept lalu.

‘Semua yang hadir diarah kuarantin’

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dalam mesyuarat itu telah diberikan arahan kuarantin kendiri 14 hari bermula pada hari kontak berlaku.

Mereka yang tidak menjadi kontak rapat pula tetap perlu memantau kesihatan diri di rumah menerusi penilaian dalam aplikasi MySejahtera.

Ismail Sabri dan Noor Hisham masing-masing dijadual membuat sidang media hari ini tetapi ia dibatalkan tanpa dinyatakan sebarang sebab.

Ismail berkata dia telah mengambil ujian Covid-19 hari ini dan keputusan menunjukkan negatif.

Malaysiakini telah menghubungi Noor Hisham untuk bertanya jika dia turut membuat ujian dan sedang menunggu maklum balasnya.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang turut menyertai mesyuarat itu memberitahu Malaysiakini bahawa dia dikategorikan sebagai kontak tidak rapat oleh Kementerian Kesihatan memandangkan tempat duduknya yang agak jauh dengan Zulkifli.

Menurutnya, dia telah diarahkan menjalani kuarantin di rumah dan memantau kesihatan diri selama 14 hari.

Ujian Covid-19 yang diambil hari ini juga menunjukkan keputusan negatif, katanya lagi.

Sumber : Malaysiakini