Covid-19 : Pendekatan ‘satu polisi untuk semua’ gagal, kata pakar
Kerajaan perlu mengakui bahawa pencegahan wabak COVID-19 menerusi pendekatan ‘satu polisi untuk semua” adalah tidak berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pendidikan Pasaran (CME), Dr Carmelo Ferlito berkata tiba masa kerajaan melaksanakan strategi yang lebih bersasar.
“CME meminta supaya kerajaan melihat peningkatan kes pada ketika ini sebagai sebahagian daripada gelombang sebelum ini yang bermula sejak September 2020 – yang sebenarnya adalah gelombang pertama COVID-19 di Malaysia.
“Apa yang berlaku ketika ini adalah sesuatu yang semula jadi kepada gelombang ini, yang sebelum ini dapat mengurangkan kes disebabkan sekatan perjalanan.
“Perlu diingatkan, kini secara jelas menunjukkan sekatan pergerakan tidak memutuskan rantaian jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Malah, CME turut mendapati sekiranya pendekatan sama dilakukan kerajaan untuk mengekang COVID-19, ia memungkinkan pandemik itu berlanjutan sehingga 10 tahun.
Justeru, CME menggesa kerajaan mewujudkan data yang tersusun dan terperinci melibatkan umur dan tahap kesihatan mereka yang maut akibat COVID-19.
Data ini akan membantu rakyat menilai tahap kesihatan individu lain. – AA