Cuak kereta rosak, wanita terharu Radhi OAG tolong tolak kereta ke tepi jalan seorang diri

Cuak kereta rosak, wanita terharu Radhi OAG tolong tolak kereta ke tepi jalan seorang diri

 

Tindakan murni penyanyi, Radhi OAG menolak sebuah kereta yang rosak di tengah jalan raya akibat masalah bateri menyentuh hati pemandunya, Nurul Farhana Hazwani.

Menurut Nurul Farhana, dia mengakui panik ketika berdepan situasi tersebut sebelum penyanyi berusia 46 tahun itu tiba-tiba tampil menghulurkan pertolongan dalam kejadian pada tengah hari Selasa lalu.

Tengah pandu seorang diri, cuak tiba-tiba bateri ‘kong’

“Dalam 3 minit je Allah hantar pertolongan yang tak disangka-sangka. Kawasan jammed and panas terik tengah hari siapa ah nak tolong kan. Terus trauma nak bawak kereta yang ada Eco Idle ni.

“Hats off to Radhi OAG! You did a great job!,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Suami Nurul Farhana, Anas Asnawi Gazali berkongsi rakaman kamera papan pemuka atau ‘dashcam’ berhubung kejadian berkenaan di group Facebook DashCam Owners Malaysia sehingga meraih pujian ramai dalam kalangan netizen.

Menerusi rakaman berdurasi sekitar dua minit itu, kelihatan Radhi berlari jauh dari hadapan sebelum mendekati kereta Nurul Farhana sekali gus menawarkan diri bagi mengalihkan kenderaan terbabit ke tepi jalan.

Tidak lama selepas itu, seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anaknya Muhammad yang memakai seragam sekolah turut berlari menghampiri kenderaan itu selepas kemungkinan menunggu lama dalam kereta mereka.

Penyanyi lagu Senyuman Ragamu itu kemudian dilihat mendukung Muhammad sebelum meminta anaknya ke tepi untuk menolak kereta rosak tersebut seorang diri.

Tersentuh dengan sikap baik hati Radhi yang ‘bermandi peluh’ di tengah panas, kedengaran Nurul Farhana menawarkan sesuatu dipercayai wang saguhati namun ditolak oleh penyanyi berkenaan.