Cubaan beraya di kampung, hampir 5 ribu kenderaan diarah berpatah balik

Cubaan beraya di kampung, hampir 5 ribu kenderaan diarah berpatah balik

Sebanyak 4,839 kenderaan diarahkan berpatah balik pada Jumaat lalu, iaitu jumlah paling tinggi dicatatkan semenjak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata susulan itu anggota dan petugas keselamatan negara diarah bersiap sedia menghadapi pertambahan kenderaan yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran termasuk pulang ke kampung menjelang Aidiladha, Selasa ini.

“Kerajaan menasihati orang ramai supaya tidak curi-curi pulang ke kampung dan kekal duduk di rumah supaya tidak dijangkiti dan menjangkiti orang lain,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, sebanyak 381,952 kenderaan diperiksa di sekatan jalan raya (SJR) seluruh negara semalam.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, rakyat perlu menjadikan peningkatan kes dan kluster akibat pergerakan rentas negeri pada Aidilfitri lalu sebagai iktibar untuk tidak memandang ringan terhadap pematuhan SOP.

“Peningkatan kes serta kluster yang disebabkan pergerakan rentas negeri dan ziarah pada Aidilfitri lalu perlu dijadikan iktibar agar semua pihak tidak mengambil ringan terhadap pematuhan SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata semua pergerakan rentas negeri menggunakan surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi tempoh 18 Julai hingga 21 Julai dilarang sama sekali.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan surat kebenaran MITI sebagai kelulusan merentas negeri untuk menyambut Aidiladha.

Sumber – FMT