Cubaan jatuhkan KM Melaka, Rauf bakal digantung keahlian?

Cubaan jatuhkan KM Melaka, Rauf bakal digantung keahlian?

Ab Rauf Yusoh kini menghitung hari sebagai ketua Umno Melaka, ketika semakin banyak aduan diterima terhadap ADUN Tanjung Bidara itu, kata sumber kepada FMT.

“Lima ketua bahagian sudah bertemu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk menuntut supaya beliau (Rauf) digantikan,” kata seorang pemimpin tertinggi parti yang enggan namanya disiarkan.

Pemimpin itu berkata, ketua bahagian juga sudah menandatangani petisyen terhadap Rauf, yang menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepimpinannya.

“Mereka kata dia angkuh. Mereka juga kata dia banyak buat keputusan tanpa berunding dengan ketua bahagian lain dan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.”

Sumber dalaman parti itu berkata, ketua bahagian kini mahu Sulaiman dilantik sebagai ketua Umno Melaka dan bertegas perkara itu mesti berlaku sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Zahid hanya menunggu masa sesuai untuk bertindak,” dakwa sumber itu.

Timbul persoalan mengenai nasib Rauf sejak dilaporkan bahawa beliau tidak hadir dalam majlis angkat sumpah Sulaiman susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Melaka.

Minggu lalu, Rauf menepis cakap-cakap politik bahawa beliau cuba menekan Sulaiman supaya meletakkan jawatan sebagai ketua menteri Melaka.

Ia berlaku selepas Pemangku Ketua Bahagian Umno Alor Gajah, Rospandi Leman dilaporkan berkata, Sulaiman berada di bawah beberapa bentuk paksaan untuk menandatangani surat peletakan jawatan, seperti yang menjadi spekulasi di media sosial sejak beberapa hari lalu.