Cubaan menyucikan rasuah gagal, SPRM tolak penjenamaan ‘sedekah’ pilihanraya ditafsir Presiden Pas
PAS mungkin melakukan kesalahan pilihan raya dengan memberikan wang tunai kepada pengundi semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, kata Azam Baki.
Memetik The Malaysian Insight, Ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata rasuah tetap rasuah tidak kira bagaimana seseorang memilih untuk menggambarkannya, menambah Akta Kesalahan Pilihan Raya sangat jelas tentang apa yang dimaksudkan dengan beli undi.
“Seksyen 10 (a) Akta itu sangat jelas dan apa juga istilah awam yang digunakan untuk mempertahankan hujah adalah tafsiran peribadi semata-mata.
“Namakan ia ‘sedekah’ atau ‘sumbangan’, undang-undang menganggapnya sebagai rasuah yang dibayar kepada pengundi – tidak kira sama ada pengundi memintanya atau tidak,” katanya seperti dipetik sebagai berkata oleh The Star.
Azam menegaskan Seksyen 10 (a) mentakrifkan secara terperinci perbuatan rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya, menambah tidak kira sama ada jenayah itu dilakukan secara langsung atau tidak langsung oleh calon itu sendiri atau oleh wakil bagi pihaknya.
Beliau memberitahu akhbar berbahasa Inggeris itu SPRM akan menyiasat sebarang bentuk rasuah menggunakan undang-undang dan bukan atas tafsiran peribadi.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dikecam oleh banyak pihak selepas mengeluarkan kenyataan pemberian wang tunai sewaktu kempen PRU15 tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.
Kenyataan beliau pada Sabtu itu sebagai jawapan kepada Umno yang memfailkan petisyen berhubung dakwaan rasuah semasa kempen pilihan raya di Terengganu.
Pemimpin Umno memfailkan petisyen pilihan raya ke atas tiga kerusi Parlimen di negeri itu kerana mendakwa PAS menyogok pengundi melalui agihan wang tunai tersebut sewaktu kempen PRU15.
Agihan wang melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa itu didakwa dilakukan kerajaan negeri bermula 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15.
Petisyen difailkan Umno Terengganu pada 3 Januari itu untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kawasan Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.
Petisyen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu itu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, menurut pengerusi Umno Terengganu.
PAS yang berada dalam Perikatan Nasional mendakwa mempunyai bukti kukuh untuk menafikan dakwaan gabungan itu memberi rasuah kepada pengundi. – 24 Januari, 2023.