Cuti sekolah nak bawa anak main air? Ini empat Water Park yang murah di Malaysia untuk dikunjungi
Taman tema air atau Water Park adalah antara destinasi tumpuan untuk meluangkan masa bersama keluarga apabila tiba musim cuti sekolah.
Merupakan lokasi impian untuk semua kanak-kanak, segelintir ibu bapa yang kurang berkemampuan pula pasti merasa amat kecewa apabila tidak dapat menunaikannya.
Namun anda tidak perlu khuatir, masih terdapat banyak teman tema air di Malaysia ini yang menawarkan tiket masuk dengan harga cukup berpatutan dan mampu milik.
Tidak perlu mengeluarkan kos yang terlalu tinggi demi keseronokan anak-anak, berikut kami kongsikan empat taman tema air dengan harga tiket bawah RM50.
1. Wet World Shah Alam
Teletak di Taman Tasik Shah Alam, taman tema air ini merupakan salah satu lokasi yang popular bagi ibu bapa yang mahu meluangkan masa bersama anak-anak.
Dengan harga tiket serendah RM 37 untuk dewasa dan RM32 (kanak-kanak), taman tema air ini juga sangat mesra (friendly) terutamanya bagi anak yang masih kecil.
Hal ini kerana, Wet World Shah Alam mempunyai satu seksyen khusus untuk anak kecil yang hanya boleh bermain dengan air cetek iaitu Kiddy Typhoon Lagoon.
2. Bayou Lagoon Water Park
Taman tema air yang terletak di Melaka ini turut dilengkapi dengan bilik hotel di mana pengunjung yang tinggal berjauhan boleh menempah tempat tidur bersama tiket.
Kolam di taman tema air ini tidaklah sebesar Water Park lain, namun harganya yang berpatutan membuatkan lokasi ini sangat berbaloi untuk dijadikan tempat percutian.
Harga masuk untuk kanak-kanak adalah RM16, manakala bayaran sebanyak RM22 dan RM16 pula dikenakan kepada pengunjung dewasa dan juga warga emas.
3. Bukit Merah Laketown Water Park
Taman Tema Air yang terletak di Perak ini juga dilengkapi dengan bilik hotel di mana pengunjung yang tinggal berjauhan boleh menempah tempat tidur bersama tiket.
Dengan harga tiket masuk serendah RM30, pengunjung boleh mengunjungi pelbagai tempat tarikan menarik dan bermacam jenis gelongsor di dalam taman tema air ini.
Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh melawat haiwan yang hidup dalam Petting Zoo di taman tema ini namun perlu membayar caj tambahan yang telah ditetapkan.
4. A’Famosa Water Theme Park
Walaupun teman tema air di Melaka ini antara yang terbesar di Malaysia, namun harga tiket masuknya tidaklah terlalu mahal jika dibandingkan dengan keluasannya.
Mempunyai lebih daripada 10 tarikan menarik, pengunjung juga boleh mendapat pengalaman naik ke gelongsor yang mempunyai ketinggian kira-kira tujuh tingkat.
Difahamkan, harga tiket masuk khusus teman tema air untuk dewasa adalah RM45, manakala kanak-kanak dan warga emas pula dikenakan bayaran sebanyak RM38.
Pengunjung juga berpeluang melawat haiwan yang hidup dalam Safari Wonderland di taman tema ini namun perlu membayar caj tambahan yang telah ditetapkan.
Bagi menjimatkan kos, pembaca boleh membeli tiket di atas talian kerana harga yang ditawarkan kebiasaannya lebih murah namun pastikan kesahihan laman web itu terlebih dahulu.