Dadah punca isteri kelar dan tikam suami

Dadah punca isteri kelar dan tikam suami

Isteri kepada mangsa bunuh depan sebuah rumah setinggan di Kampung Desa Makmur, Majidee, di sini pada Jumaat direman selama seminggu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, wanita berusia 30an itu direman mulai Sabtu sehingga 9 April ini bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing menunjukkan wanita berkenaan didapati positif dadah.

“Suspek ditahan reman dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian diminta agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian hotline 07-2182323,” katanya ketika dihubungi.

Mayat suami wanita berkenaan ditemui mati dengan kesan kelar di leher serta tikaman di rusuk kanan di depan rumahnya di kampung tersebut kira-kira jam 6 pagi Jumaat.

Kejadian membabitkan mangsa berusia 26 tahun itu dimaklumkan kepada polis pada jam 8.25 pagi dan pemeriksaan di tempat kejadian menjumpai sebilah pisau pemotong kertas dan serpihan mata pisau di tempat kejadian. – AA