Dakwa A.Galak sudah meninggal dunia, ini teguran ‘pedas’ Yusof Haslam

Dakwa A.Galak sudah meninggal dunia, ini teguran ‘pedas’ Yusof Haslam

 

Pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam kesal dengan tindakan beberapa individu yang tidak bertanggungjawab terhadap penyebaran berita bahawa sahabat baiknya yang juga pelakon senior, A. Galak telahpun meninggal dunia.

Menyifatkan tindakan sedemikian sebagai tidak bertanggungjawab dan semakin tidak terkawal, Yusof bagaimanapun memohon agar berita mengenai kematian rakan baiknya itu dihentikan segera.

“Hari-hari dia ada dengan saya. Semua fake news.

“Dah makin kerap berlaku dan saya harap mereka hentikan membuat dosa saja dengan menyebarkan berita palsu kepada orang ramai,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Yusof berharap agar hukuman denda yang setimpal serta tindakan tegas dapat dilaksanakan oleh pihak berkuasa khasnya terhadap mereka yang melaporkan berita palsu ini.

“Semoga ada undang-undang yang tegas daripada pihak berkuasa dan berwajib bagi mereka yang melakukan penyebaran berita palsu ini. Kena ada hukuman denda yang setimpal atau penjara,” jelasnya.

Sebelum ini, A. Galak pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 27 Mei 2019 selepas diserang angin ahmar. Namun, keadaannya kini semakin baik.

Terdahulu, berita kematian A. Galak atau lebih dikenali sebagai Sarjan Misai menerusi drama-drama terbitan Skop Production tular di media sosial sejak beberapa minggu lalu.