Dakwa bumi tidak berputar, pemuda ini sanggah kenyataan salah Ustaz Kazim

Dakwa bumi tidak berputar, pemuda ini sanggah kenyataan salah Ustaz Kazim

TEGURAN UNTUK USTAZ KAZIM ELIAS BERKENAAN BUMI TAK BERPUTAR

Sebelum saya menulis panjang lebar, saya nak mintak maaf sekiranya penulisan saya ni membuatkan ustaz terasa, terguris atau seumpama dengannya, sebaliknya teguran saya ini adalah kerana rasa tanggungjawab saya untuk menegur ustaz berkenaan kesalahan fakta berkenaan bumi tak berputar.

Teguran ini dibuat secara umum kerana betapa perkongsian ustaz yang tular di Tik Tok juga dibuat secara umum. Sekiranya tidak, nescaya saya tidak akan tampil juga dikhalayak umum menegur ustaz. Ilmu salah yang disebarkan secara umum, harus ditegur secara umum juga untuk membetulkan salah tanggap orang awam.

Pertama, saya yakin ustaz dalam benak ustaz ingat bahawa sains mengatakan bahawa matahari, pegun tidak bergerak. Dan nanti, ilmu sains ini mesti akan bertentangan dengan ayat Al-Quran mengenai pengerakkan matahari seperti mana dalam ayat:

“Dan matahari berjalan ditempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” (Surah Yassin: 38)

Dan beberapa lagi ayat Al-Quran yang lain yang turut menggunakan frasa bahawa matahari beredar di tempat peredaraannya. Persoalannya, apakah ayat tersebut bertentangan dengan sains?

Sebenarnya tidak pun. Sains juga bercakap bahawa matahari turut beredar, tetapi peredaran matahari sebenarnya bukanlah mengelilingi bumi, sebaliknya mengelilingi pusat galaksi bima sakti.

Matahari, dan seluruh sistem suria dari planet Utarid, Bumi, Marikh hinggalah ke Uranus beredar mengelilingi pusat galaksi Bima Sakti. Matahari mengambil tempoh sekitar 250 juta tahun untuk lengkapkan satu peredarannya.

Setakat ini, Matahari telah mengelilingi pusat galaksi sebanyak sekitar 18 kali sejak kejadiannya 4.6 bilion tahun lampau. Jadi, kalau kita terjumpa dengan ayat-ayat dalam Al-Quran yang bercerita mengenai peredaran Matahari itu sendiri, jangan melompat, jangan terus membabi buta menuduh bahawa Yahudi dan Nasrani bertanggungjawab dalam hal ini.

Lagipun, idea bumi pegun ditengah alam semesta antara yang paling awal datang daripada para pemikir Yunani, Ptolemy, ahli falsafah Greek yang menyatakan Bumi adalah pusat cakerawala dan segala jasad samawi beredar mengelilinginya. Jadi, idea bumi pegun dan pusat alam semesta ini bukanlah idea eklusif milik orang Islam atau seumpama dengannya,

Malahan, orang Islam sendiri mendahului tokoh barat dan Eropah dalam menyanggah idea Geocentirism ini seperti Al-Biruni, seorang ahli astronomi agung Islam yang membincangkan kebarangkalian Matahari ialah pusat Sistem Solar kita, dan bumi berputar mengelilingi Matahari dalam karyanya Masudic Canon (1031). Juga, saintis seperti Al-Haytham dalam karyanya Al-Shukūk ‘alā Baṭalamiyūs, yang mengkritik model bumi pegun dan pusat alam semesta oleh Ptolemy itu sendiri.

Saintis-saintis dari bahagian lain dunia turut mengkritik dan melahirkan idea-idea Heliocentric, misanyal seperti di India, Aryabhata (476–550) dalam magnum opusnya yang berjudul Aryabhatiya (499) pernah mencadangkan bahawa bumi ni berputar, mengelilingi Matahari. Jadi, menyalahkan bahawa Yahudi dan Nasrani nak kenakan orang Islam adalah tidak benar sama sekali.

Malahan ketika Galileo Galilei menjadi antara insan yang terawal mencadangkan mengenai Matahari sebagai pusat sistem solar kita, gereja sendiri telah mengurung dan memaksa Galileo Galilei menarik balik kenyataan tersebut kerana ketika itu, gereja berpegang pada sains Aristotle yang mengatakan bahawa bumi ialah pusat alam semesta. Jadi, tak betul dakwaan ustaz ni semua usaha Nasrani nak merosakkan umat Islam, sedangkan pada awalnya, umat Nasrani sendiri tak bersetuju dengan konsep ini!

Berikutan tentang mengenai dakwaan bahawa kalau bumi itu berputar selaju 1000 batu sejam, dan juga bergerak mengelilingi matahari dalam kelajuan 67,000 batu sejam, kenapa dengan kelajuan ini, kita tak terasa apa-apa?

Kat sini lah terbukti kepincangan Ustaz Kazim Elias dalam memahami sains itu sendiri. Dalam nak menjawab soalan ini, kita kena kembali semula ke Hukum Pengerakan Newton yang pertama itu sendiri.

“Lex I: Corpus omne perseverare in statu suo quiescendi vel movendi uniformiter in directum, nisi quatenus a viribus impressis cogitur statum illum mutare.”

Yang bermaksud, sesuatu objek yang bergerak dengan apa isi yang ada di dalamnya akan tetap bergerak, manakala sesuatu objek yang pegun dengan segala isinya akan tetap pegun, melainkan ada satu daya luaran yang bertindak ke atasnya.

Analogi nak memahaminya mudah. Katakan anda menaiki sebuah kereta yang bergerak dalam kelajuan 200 KM per jam. Apakah anda kekal pegun disatu tempat bilamana kenderaan yg anda naiki bergerak?

Dah tentu tidak, ini kerana anda bergerak bersamanya melainkan anda akan pegun bila mana kenderaan anda dihentam satu daya luar yang bertinda ke atas kenderaan anda. Sebagai contoh, ketika kereta anda dilanggar atau melanggar sesuatu yang menyebabkan pergerakan anda terganggu.

Tak puas hati lagi dengan analogi di atas? Kita ambil contoh lain pulak. Anda menaiki sebuah tren berkelajuan peluru yang bergerak selaju 300 km/h misalnya. Apakah ketika anda berada dalam kereta api itu, tak bergerak, maka anda boleh sampai ke penghujung tren atau anda perlu untuk berlari sampai ke penghujungnya?

Jadi, jawapan kepada persoalan ini, yang dibangkitkan oleh ustaz seperti kalau bumi ni berputar, kenapa pesawat kena bergerak baru sampai ke lokasinya, dan tak berada pegun dan tunggu sahaja bumi bergerak sebelum sampai ke lokasi adalah kita kena faham dulu hukum pengerakan Newton.

Jawapan tuntasnya, kita, pesawat, dan segala isi bumi sebenarnya bergerak sekali bersama dengan kelajuan bumi. Dek kerana daya yang dihasilkan oleh kelajuan itu, maka kita bergerak sekali bersama bumi. Seperti mana kita tak terasa kerana berada dalam sebuah tren, begitu jugak kita tak terasa dengan pengerakan bumi ini.

Saya harap penjelasan saya ini cukup jelas untuk menjawabnya. Kalau ada soalan yang nak ditanyakan, saya akan cuba jawab berdasarkan pengetahuan saya sendiri.

Sekian.

Helmi Effendy
Chief Content Officer
The Patriots