Dakwa diraba, polis anggap Sajat ‘propa’
Polis menafikan laporan mengenai serangan seksual dalam laporan polis yang dibuat Nur Sajat Kamaruzzaman terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada bulan Januari lalu, dedah portal akhbar Malaysiakini.
Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed, berkata pihak polis hanya menerima laporan bahawa Sajat diserang oleh pegawai Jais ketika siasatan dijalankan.
“Kami buka siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana secara sengaja menyebabkan kecederaan.
“Tidak ada laporan mengenai serangan seksual atau cabul dalam laporan polis,” kata Arjunaidi seperti dipetik oleh The Star.
Dalam temu bual dengan New York Times, Sajat mendakwa dia diserang dan dicabul semasa disoal siasat oleh pegawai Jais Januari lalu.
Dia mendakwa sekurang-kurangnya tiga lelaki menendang, menekan dan meraba payudaranya.
Sajat kemudian ditangkap dan didakwa di Mahkamah Syariah pada hari yang sama sebelum ditempatkan di pusat tahanan untuk lelaki.
Dalam temu bual itu, Sajat juga mendakwa kejadian itu disaksikan ibunya sendiri, yang menegur dan mempertikaikan perbuatan berkenaan yang dilakukan oleh individu yang mempunyai ilmu agama.
Sajat mendakwa pegawai terbabit mengatakan dirinya adalah seorang lelaki dan tiada masalah melakukan perbuatan itu.
Sajat yang merupakan seorang transgender, melarikan diri ke Thailand bulan lalu setelah pihak berkuasa Malaysia mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana gagal menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah.
Dia ditahan oleh pihak imigresen Thailand di Bangkok setelah kerajaan Malaysia membatalkan pasportnya.
Sajat akhirnya melarikan diri ke Australia dengan menggunakan Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).