Dakwa Melayu dapat layanan teristimewa dalam perkhidmatan awam, ini penjelasan menjawab tuduhan dilempar Ramasamy

Dakwa Melayu dapat layanan teristimewa dalam perkhidmatan awam, ini penjelasan menjawab tuduhan dilempar Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy sekali lagi menjadi sasaran kemarahan ramai apabila membangkitkan alasan kerajaan terhadap penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bangsa Cina.

Menurutnya, alasan tersebut sudah lapok dan tidak lagi terpakai ditambah lagi selepas Anwar diangkat sebagai perdana menteri.

Namun, benarkah dakwaan Ramasamy itu? Bagi menjawab persoalan tersebut, seorang pengguna media sosial tampil berani menyanggah tuduhan yang dianggap bersifat populis pemimpin Dap Pulau Pinang itu.

Dia berkongsikan jawapannya menerusi satu hantaran di FB miliknya, Abdul Rahim Hilmi Zakariya.

Benarkah perkhidmatan awam negara mementingkan orang Melayu berbanding kaum lain? Adakah Melayu lebih mudah diterima bekerja dalam sektor awam dan lebih mudah naik pangkat berbanding kaum lain?
Saya akan jawab 2 soalan ini berdasarkan statistik dan terpulanglah kepada tuan-tuan untuk menilai sendiri.
Bagi soalan pertama, saya merujuk akhbar Sin Chew Daily bertarikh 14 Oktober 2010
Antara Januari – Jun 2010, jumlah pemohon kerja kerajaan mengikut kaum adalah seperti berikut:
Melayu – 754,106 orang
Cina – 19,216 orang
India – 32,708 orang
Jumlah mereka yang diterima bekerja mengikut kaum bagi tempoh sama pula adalah seperti berikut:
Melayu – 14,430 orang.
Cina – 907 orang
India – 3,105 orang
Berdasarkan statistik tersebut, daripada 754,106 pemohon Melayu, hanya 1.91% daripadanya diterima bekerja di sektor awam
Daripada 19,216 pemohon Cina, 4.72% daripadanya diterima bekerja di sektor awam
Daripada 32,708 pemohon berbangsa India, 9.49% daripada mereka diterima bekerja di sektor awam
Ini bermakna kadar kejayaan kaum India untuk diterima bekerja sebagai penjawat awam adalah yang paling tinggi diikuti kaum Cina dan akhirnya barulah Melayu
Timbul soalan kedua, bukan Melayu tidak minat bekerja di sektor awam kerana mereka sukar naik pangkat berbanding kaum Melayu.
Untuk soalan ini, kita akan pecahkan statistik penjawat awam daripada gred 56 ke bawah dan gred JUSA ke atas. JUSA atau Jawatan Utama Sektor Awam adalah gred bagi peringkat pengarah jabatan.
Paling rendah adalah Jusa C yang contohnya dipegang pengarah bahagian, pengarah jabatan peringkat negeri dan YDP Pihak Berkuasa Tempatan.
Lebih tinggi daripada itu adalah gred Turus yang dipegang oleh Ketua Pengarah agensi utama persekutuan, KSU Kementerian dan beberapa jawatan utama lain
Saya merujuk hansard jawapan di parlimen pada 18 Julai 2022.
Jumlah keseluruhan penjawat awam (tidak termasuk pasukan keselamatan) mengikut kaum adalah seperti berikut:
Melayu – 951,322 orang
Cina – 73,190 orang
India – 47,994 orang
Penjawat awam gred JUSA ke atas (termasuk gred Turus) mengikut kaum pula adalah seperti berikut:
Melayu – 3,300 orang
Cina – 388 orang
India – 243 orang
Berdasarkan statistik di atas, daripada 951,322 penjawat awam berbangsa Melayu, 0.347% daripada mereka memegang jawatan utama kerajaan.
Daripada 73,190 penjawat awam berbangsa Cina, 0.53% daripada mereka memegang jawatan utama kerajaan.
Daripada 47,994 penjawat awam berbangsa India, 0.506% daripada mereka memegang jawatan utama kerajaan.
Ini bermakna kadar kejayaan penjawat awam berbangsa Cina untuk memegang jawatan utama sektor awam adalah yang paling tinggi, diikuti India dan akhirnya barulah Melayu.
Pernah seorang guru saya (seorang Profesor di universiti awam) memberitahu: Taraf pendidikan seorang sama ada PhD atau Master atau Ijazah atau gelaran Profesor sekalipun hanya menunjukkan tahap pengetahuan
Ia belum tentu menunjukkan tahap kebijaksanaan
—-
Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Kuala Terengganu