Dakwa menyorok dalam kontena untuk lolos, KTMB enggan bertanggungjawab

Dakwa menyorok dalam kontena untuk lolos, KTMB enggan bertanggungjawab

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak bertanggungjawab ke atas segala isi kandungan kontena yang disewa para pelanggan sama ada kosong atau bermuatan.

Operator rel tempatan itu bagiamanapun memberi jaminan bahawa pihaknya sedia melakukan proses siasatan dalaman berhubung kes Nur Sajat meloloskan diri dengan menaiki kargo tren KTMB.

“Fasiliti dan terminal kargo KTMB di stesen Padang Besar, Perlis adalah kawasan yang amat dikawal ketat oleh pihak berkuasa termasuk kastam,” katanya menerusi kenyataan di ibu negara.

Ia merujuk pelbagai laporan portal media tempatan hari ini mengenai isu usahawan kosmetik terkenal, Nur Sajat yang melarikan diri ke Thailand menerusi kontena diuruskan syarikat rel itu.

Bagaimanapun suspek itu berjaya ditahan pihak imigresen Thailand di sebuah kondominium mewah di Bangkok pada 8 September lalu dengan seorang pondan warga tempatan.

Nur Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, kemudian didakwa di mahkamah, namun telah dibebaskan keesokan hari atas jaminan seorang rakyat Thai.

Berita itu tular diperkatakan dan menjadi bahan jenaka pengguna media sosial kerana beliau berjaya melepaskan diri hanya dengan menyeludup dalam sebuah kargo kereta api.

Mengulas lanjut, KTMB menegaskan bahawa setiap tren barangan yang merentasi sempadan antarabangsa perlu melepasi pemeriksaan cukup teliti oleh pihak berkuasa kedua-dua negara.

“Proses rumit ini melibatkan prosedur operasi standard ketat termasuk pemeriksaan dokumentasi serta fizikal ke atas gerabak dan barangan yang dimuatkan,” jelas kenyataan operator rel itu.

Nur Sajat dipercayai menaiki sebuah kereta dari Lembah Klang menerusi laluan Lebuh Raya PLUS sebelum menaiki kargo tren KTMB di Padang Besar sehingga ke Hatyai, selatan Thailand.

Beliau menghilangkan diri selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor pada 23 Februari lalu mengeluarkan waran tangkap kerana gagal hadir perbicaraan kes hina agama Islam.

Sumber – UTUSAN ONLINE