Dakwa polis berpakat lindungi saspek, mangsa rogol babitkan Hilman failkan saman
Peguam yang mewakili seorang wanita mendakwa dirogol dua kenalan ADUN Gombak Setia, Hilman Idham Disember lalu memfailkan saman sivil terhadap mereka yang terbabit dalam kejadian dikatakan itu.
Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, beliau diarahkan anak guamnya memfailkan saman sivil terhadap polis, jika mereka tidak telus mengenai status siasatan.
“Ini kerana permintaan awal anak guam saya untuk perkembangan terkini pada Jun lalu masih tidak dijawab.
“Anak guam saya berhak tahu sebarang perkembangan atau hasil siasatan.Sembilan bulan terlalu lama dan kami tidak boleh bertolak ansur dengan kelewatan itu,” katanya di luar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur selepas menghantar satu lagi surat untuk meminta maklumat berhubung kes itu.
Beliau berkata, jika polis gagal memberikan sebarang maklum balas dalam tujuh hari, saman sivil akan difailkan di mahkamah untuk mengetahui status kes itu.
“Anak guam saya turut mengarahkan saya memfailkan saman sivil terhadap semua yang terbabit dalam kejadian itu. Surat tuntutan akan dihantar kepada semua yang terbabit minggu depan.
“Susulan itu, kami akan terus mengambil tindakan sivil di mahkamah kerana kelewatan itu terlalu lama. Sebarang kelewatan adalah ketidakadilan.”
Asheeq turut mendapati Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim pada Mei lalu dilaporkan berkata, siasatan ke atas perkara itu hampir selesai dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
“Sejak itu, tiada perkembangan daripada polis,” katanya.
Peguam itu turut menyindir kelembapan siasatan kes itu, dengan membandingkan kes ADUN Tronoh, Paul Yong (bekas DAP) dan ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil dari Amanah.
“Kedua-dua kes ini diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan, tetapi masih tiada kesimpulan untuk kes anak guam saya, walaupun selepas sembilan bulan. Penantian begitu lama tidak masuk akal.”
Dakwaan terhadap Yong merogol pembantu rumahnya mula timbul pada Julai 2019 dan beliau dihadapkan ke mahkamah sebulan kemudian. Kes itu masih berterusan di Mahkamah Tinggi Ipoh.
Mac lalu, Faiz menafikan dakwaan beliau melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di Petaling Jaya, dengan kes itu dibawa ke mahkamah tiga bulan kemudian pada Jun – apabila dia mengaku tidak bersalah mencabul kehormatan seorang wanita.
“Saya bukan dalam kedudukan untuk mengesyaki (apa-apa), tetapi saya tahu kes ini membabitkan seorang ADUN kerajaan. Hilman ialah ADUN Bersatu, selepas berpaling tadah daripada PKR tahun lalu.
“Jika dua kes yang saya sebutkan terdahulu boleh diselesaikan dengan sangat cepat, kenapa tidak kes ini? Jawapannya…Anda sendiri tahu. Saya tak perlu sebut.”
Asheeq menggesa polis menyelesaikan siasatan itu dan memberi penjelasan kepada anak guamnya secepat mungkin serta mendakwa individu terbabit.
“Saya tahu kes ini membabitkan beberapa nama besar, ahli politik dari kerajaan dan Hilman, tetapi polis perlu berlaku adil,” katanya.
Sumber – FMT