Dakwa SPRM sogok bosnya RM10 juta bagi memerangkap Muhyiddin, pegawai Wan Saiful akhirnya terima padah ditahan
Seorang pegawai kepada bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan pada jam 3.30 petang Rabu.
Perkata itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menerusi sidang akhbar di sini pada Khamis.
Menurutnya, penahanan itu dibuat susulan dakwaan yang dikeluarkan oleh individu terbabit sebelum ini.
Semalam, portal Majoriti melaporkan individu dipercayai Pegawai Penyelidik kepada Datuk Wan Saiful Wan Jan, Mohamad Shafiq Abdul Halim membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung videonya yang menuduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cuba melakukan sogokan.
Dia membuat permohonan maaf itu selepas mendakwa SPRM menawarkan RM10 juta sebagai wang sogokan kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor untuk memastikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dituduh menerima rasuah.
Mohamad Shafiq berkata, permohonan maaf itu dibuat kerana dakwaannya itu mencetuskan provokasi politik yang mengakibatkan perbalahan.
“Live di TikTok saya (akaun Mohamad Shafiq) petang tadi (Selasa) adalah reaksi kepada fitnah jahat yang dibuat oleh cyber troopers Pakatan Harapan seperti lampiran yang seolah-olah menjadi hakim dalam mengesahkan Wan Saiful meminta serta menerima rasuah.
“Dalam video tersebut selepas provokasi pada ruangan komen saya mengatakan ada rumours semasa di mahkamah yang mengatakan pihak SPRM menawar RM10 juta untuk Wan Saiful menukarkan kenyataan bertujuan menganiayai Muhyiddin.
“Pihak wartawan menghubungi saya dan saya menjelaskan ia adalah perang mulut di media sosial dan saya turut menyatakan ia adalah rumours. Malah saya akan mendapatkan kepastian daripada Wan Saiful seperti lampiran WhatsApp mesej.
“Saya memohon maaf kepada pihak SPRM kerana provokasi politik yang mencetuskan perbalahan dan saya terlepas cakap berkaitan rumours di mahkamah yang kononnya pihak SPRM menawarkan sejumlah wang RM10 juta untuk Datuk Wan Saiful mengubah kenyataannya.
“Saya tidak berniat menuduh mana-mana pihak termasuk Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) yang mana video tersebut dipotong oleh cyber troopers Pakatan Harapan dan disebarkan seolah-olah saya hanya menyebut SPRM menawarkan RM10 juta kepada Wan Saiful,” tulisnya di halaman Facebook peribadi pada Selasa.
Sementara itu, dalam satu rakaman video lain di TikToknya, Mohamad Shafiq mendakwa ada wartawan memanipulasi kenyataan yang diberikan media.
Sebelum ini Majoriti melaporkan Mohamad Shafiq melalui satu video di TikTok mendakwa SPRM menawarkan wang sogokan kepada Datuk Wan Saiful untuk memastikan Muhyiddin dituduh menerima rasuah.